Terkini
Isu bekalan beras: Sampel beras di pasaran akan dianalisa – Mohamad Sabu
Kerajaan akan mengambil sampel beras daripada gudang dan pasar raya di seluruh negara untuk analisis kimia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata kerajaan akan mengambil sampel beras daripada gudang dan pasar raya di seluruh negara untuk analisis kimia.
- Tindakan itu akan dibuat melalui satu ops bersepadu bertujuan membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas rantaian industri.
- “Pihak kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menukar kampit beras, atau mencampur beras putih tempatan atau menyorokkan beras,” katanya pada satu sidang media semalam.
- Ops tersebut membabitkan beberapa badan antaranya Badan Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Kerajaan akan mengambil sampel beras daripada gudang dan pasar raya di seluruh negara untuk analisis kimia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Katanya, tindakan itu akan dibuat melalui satu ops bersepadu bertujuan membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas rantaian industri.
“Pihak kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menukar kampit beras, atau mencampur beras putih tempatan atau menyorokkan beras,” katanya pada satu sidang media semalam.
Ops tersebut membabitkan beberapa badan antaranya Badan Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Menurut Mohamad, Ops itu akan diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.
Sebelum ini tular video di sebuah gudang mendakwa cubaan pihak tidak bertanggungjawab menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import.
Menurut Mohamad, langkah itu antara empat langkah intervensi tambahan kerajaan susulan pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu kekurangan bekalan beras putih tempatan.
Katanya, langkah lain termasuk mengarahkan Fama meningkatkan edaran bahan makanan ruji itu ke kawasan pedalaman.
“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) diarah meningkatkan pengedaran beras putih tempatan di kawasan luar bandar.
“Oleh kerana margin untung beras tempatan hanya 50 sen, kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak Fama,” katanya.
Bagi Sabah dan Sarawak, katanya kerajaan bersetuju memberii subsidi sebanyak RM950 per metrik tan beras putih import mulai bulan ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata semua perolehan bekalan beras putih di bawah kontrak kerajaan akan menggunakan beras putih import, yang boleh didapati pada harga borong.
Mohamad turut mengulang nasihat untuk orang ramai tidak melakukan pembelian panik beras.
Sumber: Malaysia Now