Connect with us

Terkini

Golongan mahakaya, warga asing jangan diberi subsidi – PM

Kerajaan membuat keputusan merasionalisasikan subsidi kerana tindakan itu memerlukan perencanaan baharu bagi mengelakkan ketirisan.

Wartawan TMT

Published

on

Golongan mahakaya, warga asing jangan diberi subsidi - PM
Foto: Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) & Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga dari kiri).
  • Kerajaan membuat keputusan merasionalisasikan subsidi kerana tindakan itu memerlukan perencanaan baharu bagi mengelakkan ketirisan.
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan penyelarasan subsidi mesti dilakukan supaya golongan mahakaya tidak lagi menerima manfaat itu termasuk 3.5 juta warga asing di negara ini selain ketirisan melalui kegiatan penyeludupan.
  • “Subsidi diteruskan, tak boleh nak potong kerana harga (barang) melambung, rakyat di bawah akan terkesan.
  • “Jadi mesti ada penyelarasan supaya golongan yang mahakaya jangan diberi subsidi, orang asing dielak mendapat subsidi supaya ia diberi kepada rakyat memerlukan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

PUTRAJAYA: Kerajaan membuat keputusan merasionalisasikan subsidi kerana tindakan itu memerlukan perencanaan baharu bagi mengelakkan ketirisan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan penyelarasan subsidi mesti dilakukan supaya golongan mahakaya tidak lagi menerima manfaat itu termasuk 3.5 juta warga asing di negara ini selain ketirisan melalui kegiatan penyeludupan.

“Subsidi diteruskan, tak boleh nak potong kerana harga (barang) melambung, rakyat di bawah akan terkesan.

“Jadi mesti ada penyelarasan supaya golongan yang mahakaya jangan diberi subsidi, orang asing dielak mendapat subsidi supaya ia diberi kepada rakyat memerlukan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau sedar kritikan pelbagai pihak terutama melibatkan penyelarasan kadar tarif elektrik yang didakwa membebankan rakyat.

Sedangkan, katanya, peningkatan tarif itu hanya melibatkan 10 peratus kumpulan rakyat tertinggi (T20) yang mampu memberikan penjimatan kepada wang kerajaan sehingga RM4.6 bilion setahun.

Jelas beliau, begitu juga pemberian berterusan subsidi untuk ayam dan telur yang bernilai RM3.6 bilion walaupun harga pasaran ayam ketika ini lebih rendah dan kaedah itu berbeza sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu apabila subsidi kedua-dua barang keperluan itu hanya diberikan ketika musim perayaan.

Katanya, kerajaan juga mahu memperbaiki pendekatan pemberian subsidi minyak diesel apabila dikesan berlaku ketirisan ekoran kegiatan penyeludupan.

“Sekarang kereta tidak meningkat puluhan peratus, tetapi diesel meningkat puluhan peratus, maknanya ia dibawa keluar dari kapal-kapal laut dan sebagainya dan di sempadan. Sebab itu kita perbaiki pendekatan tentang minyak diesel.

“Subsidi sekarang setahun bernilai RM81 bilion tertinggi dunia. Walaupun saya dikecam tentang ucapan saya yang kata “bila kita jadi kerajaan hari ini, minyak turun esok”.

“Saya sudah sebut di Parlimen, masa itu tahun 2008 dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan PAS, masa itu harga minyak di Arab Saudi 50 sen, sekarang minyak Arab Saudi RM2.85, negara kita pula RM2.05 bersubsidi. Konteks itu berbeza, bukan saya nak pertahankan, nak turun macam mana?” katanya.

Beliau turut menarik perhatian mengenai penarikan subsidi Tabung Haji kepada golongan orang kaya kerana selama ini menggunakan standard format subsidi kepada semua orang tidak mengira mereka itu jutawan.

“Saya kata kalau nak haji mabrur tak payah bagi subsidi kepada orang kaya. Kalau pendapatan sebulan dia RM100,000 sebulan tak payah subsidi. Alhamdulillah disambut baik. Mereka yang lain menengah atas, bawah malahan B40 bagi tambahan sedikit lagi (subsidi).

“Jadi saya tak fikir (pendekatan itu) salah, kalau ada orang anggap itu salah beritahu lah cara bagaimana nak perbaiki lagi dengan cara lain,” katanya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Terkini

(VIDEO) Pengharmonian undang-undang syariah-sivil, apa langkah kerajaan boleh lakukan?

Malaysia dari segi ilmu dan substantif mempunyai bahan-bahan yang mencukupi untuk melaksanakan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz.
  • Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata semua agensi kerajaan perlu digerakkan untuk menjayakan usaha tersebut sebagaimana ia dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia.
  • Ini kerana semua pihak yang terlibat dalam undang-undang itu akan terkesan, sekiranya penambahbaikan undang-undang dilakukan termasuk, pindaan Perlembagaan Persekutuan.
  • “…Usaha (pengharmonian undang-undang) yang berlangsung hampir 40 tahun ini perlu diselaraskan dan cara untuk melaksanakan pengharmonian ini, perlu disusun dengan rapi dan ini memerlukan usaha kerajaan yang berterusan dengan melantik mereka atau agensi yang bertanggungjawab dalam usaha pengharmonian ini.
  • “Kalau ini tidak dilakukan, kita akan bercakap tentang perkara sama walaupun pada 40 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Putrajaya hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah atau strategi yang boleh dilakukan kerajaan, khususnya agensi agama, untuk menjayakan usaha pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini .

KUALA LUMPUR — Malaysia dari segi ilmu dan substantif mempunyai bahan-bahan yang mencukupi untuk melaksanakan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata untuk itu semua agensi kerajaan perlu digerakkan untuk menjayakan usaha tersebut sebagaimana ia dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia.

Shamrahayu berkata ini kerana semua pihak yang terlibat dalam undang-undang berkenaan akan terkesan sekiranya penambahbaikan undang-undang dilakukan termasuk, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berpendapat bahawa seperti dinyatakan Yang Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan perasmian beliau sekejap tadi bahawa pengharmonian undang-undang ini ataupun pelaksanaan keadilan dalam bidang undang-undang ini bukan sesuatu yang mudah.

“Jadi antara perkara saya sering bicarakan sebelum ini pun ialah bagaimana agensi-agensi kerajaan terutamanya perlu menyatupadukan gerak kerja mereka dan meletakkan agenda yang jelas tentang pengharmonian undang-undang.

“…Usaha (pengharmonian undang-undang) yang berlangsung hampir 40 tahun ini perlu diselaraskan dan cara untuk melaksanakan pengharmonian ini, perlu disusun dengan rapi dan ini memerlukan usaha kerajaan yang berterusan dengan melantik mereka atau agensi yang bertanggungjawab dalam usaha pengharmonian ini.

“Kalau ini tidak dilakukan, kita akan bercakap tentang perkara sama walaupun pada 40 tahun akan datang,” katanya ketika ditemui The Merdeka Times di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang langkah atau strategi yang boleh dilakukan kerajaan, khususnya agensi agama, untuk menjayakan usaha pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini.

Ia susulan pembentangan pertama di Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia yang bertajuk, “Mendasari Pengharmonian Syariah-Sivil Ke Arah Pemartabatan Undang-Undang Syariah di Malaysia”, yang telah disampaikan Timbalan Ketua Bahagian, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara, Ramzi Osman.

Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata langkah lain yang penting dilaksanakan adalah memahamkan para hakim yang bertugas di mahkamah pada peringkat Persekutuan, bukan hanya hakim mahkamah syariah.

“Satu lagi yang saya fikir tidak disebut ialah untuk memperkasakan institusi-institusi atau personnel yang menyumbang kepada pelaksanaan perundangan di mahkamah syariah terutamanya mereka yang menguatkuasakan undang-undang iaitu pengawai penguatkuasa agama dari segi penyiasatannya dan pendakwaannya. 

“Dan saya fikir jika kedua jawatan ini, penguatkuasa dan pendakwaan ini tidak diperkasakan selaras mahkamah syariah maka ia juga tidak akan mendatangkan keharmonian sepatutnya atau yang terbaiknya dalam penguatkuasaan undang-undang syariah,” katanya.

Shamrahayu berkata pelaksanaan pengharmonian undang-undang syariah dan sivil di negara ini penting kerana ia adalah untuk mencapai keadilan dan supaya negara ini mempunyai identiti perundangannya sendiri.

“Pengharmonian (undang-undang syariah dan sivil) bermaksud untuk kita mencari sesuatu yang sama dan adil, sekarang ini terdapat perbezaan. 

“Contohnya suatu perkara itu dijenayahkan dalam perundangan syariah, tetapi tidak dijenayahkan dalam perundangan yang diamalkan di peringkat Persekutuan… Jadi untuk mencari kebaikan dalam sesuatu undang-undang itu, maka pengharmonian ini perlu dilakukan,” katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending