Terkini
Edar beras akan bebani tugas FAMA bantu petani pasarkan produk agro makanan – Muhyiddin
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk terbabit dalam pengedaran beras putih tempatan (BPT).
- Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak bersetuju tindakan kerajaan mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk terbabit dalam pengedaran beras putih tempatan (BPT).
- Beliau berkata, arahan terbaru dari kerajaan cuma dilihat membebankan lagi peranan dan tugas agensi berkenaan, yang selama ini bertanggungjawab dalam pemasaran produk agro-makanan antaranya seperti sayur-sayuran.
- Sekiranya FAMA dibebani satu lagi tugas baharu, beliau bimbang langkah itu boleh mengganggu urusan pembelian dan pembekalan sayur-sayuran oleh petani khususnya orang kampung yang selama ini diuruskan agensi terbabit.
- “Kalau FAMA buat kerja ini sudah menjadi tanggungjawab baharu. Jadi kalau FAMA buat urusan ini maka tiap-tiap hari dia tak ada lagi hantar lori sayur semua untuk pergi Cameron Highlands sebab nak angkut beras lagi,” katanya ketika berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Felda Chemomoi di sini, malam tadi.
BENTONG: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk terbabit dalam pengedaran beras putih tempatan (BPT).
Beliau berkata, arahan terbaru dari kerajaan cuma dilihat membebankan lagi peranan dan tugas agensi berkenaan, yang selama ini bertanggungjawab dalam pemasaran produk agro-makanan antaranya seperti sayur-sayuran.
Sekiranya FAMA dibebani dengan satu lagi tugas baharu, beliau bimbang langkah itu boleh mengganggu urusan pembelian dan pembekalan sayur-sayuran oleh petani khususnya orang kampung yang selama ini diuruskan oleh agensi terbabit.
“Banyak video tular hari ini (semalam), orang mesti beratur nak ambil bekalan beras. Bekalan oleh siapa? Oleh FAMA. Mana ada kerja FAMA membekal beras tuan-tuan. Ia bekalkan sayur, beli sayur dan pasarkan sayur, kelapa. Tak pernah masuk dalam senarai itu adalah beras.
“Beras adalah makanan ruji kerana kita makan nasi pagi petang siang malam dan selama ini tidak (pernah) jadi masalah, kerana di mana saja pergi akan ada kedai yang jual beras. Ini kerana, sistem pengagihan dan juga rantaian bekalan sudah lama wujud, bukan setahun tetapi sudah 30, 50 tahun dulu sebelum (wujudnya) BERNAS dan selepas BERNAS.
“Mengenai soal bekalan beras, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, (Datuk Seri) Mat (Mohamad) Sabu, menyampaikan penerangan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bahawa dia sedang menguruskan bekalan (beras) ini menerusi FAMA.
“Kalau FAMA buat kerja ini sudah menjadi tanggungjawab baharu. Jadi kalau FAMA buat urusan ini maka tiap-tiap hari dia tak ada lagi hantar lori sayur semua untuk pergi Cameron Highlands sebab nak angkut beras lagi,” katanya ketika berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Felda Chemomoi di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa jika FAMA dipaksa memikul satu lagi iaitu terbabit dalam pengedaran beras, ia akan mewujudkan masalah kepada petani lain.
Beliau yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2008 hingga 2009 berpandangan arahan kerajaan supaya FAMA terbabit dalam rantaian pengedaran beras juga satu langkah yang disifatkan sebagai ‘tidak bijak’.
“Jadi masalah kepada petani-petani yang lain. Siapa nak bekal? Siapa nak jual? Siapa nak pasarkan bekalan orang-orang kampung yang diurus menerusi bantuan dari FAMA? (Nanti) FAMA kata lori saya tak ada, pegawai saya tak ada sekarang tengah uruskan (pengedaran beras) kerana (Mohamad Sabu) suruh atur, agihkan beras di seluruh negara,” katanya.
Sehubungan itu, Muhyiddin menasihati Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), supaya rajin turun padang bagi mendapatkan maklumat lebih jelas untuk bagaimana menangani masalah beras secara tuntas.
Beliau berkata, sepatutnya kerajaan mengenalpasti isu akar yang mengakibatkan kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran negara.
“Ini persoalan yang patut beliau (Mohamad Sabu) tengok kerana dia Menteri Pertanian. Pergilah turun dekat Kedah, tanya orang Kedah atau jumpa Menteri Besarnya (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), macam mana nak buat. Kawasan tanah untuk tanaman padi sudah ada bahkan sudah diusahakan berpuluh tahun tetapi kenapa hasil merosot?.
“Kena ambil tindakan kerana ini soal tanaman beras, bukan nak tunggu sampai 10 tahun seperti tanam pokok durian musang king. Untuk beras, mungkin memerlukan tempoh beberapa bulan dari benih sampai menjadi hasil…mungkin lima enam bulan sahaja atau tiga bulan.
Sumber: Berita Harian