Connect with us

Terkini

BERNAS sebagai pengimport tunggal beras masih relevan

Kedudukan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras di negara ini masih relevan dan selari dengan dasar kerajaan sedia ada.

Wartawan TMT

Published

on

BERNAS sebagai pengimport tunggal beras masih relevan
Foto: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
  • Kedudukan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras di negara ini masih relevan dan selari dengan dasar kerajaan sedia ada.
  • Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata model penswastaan BERNAS yang bersifat subsidi silang memerlukan syarikat itu melaksanakan pelbagai obligasi sosial termasuk berkongsi keuntungan dengan pesawah.
  • “Model penswastaan BERNAS adalah bersifat subsidi silang (cross subsidy), yang mana keuntungan import akan diguna pakai untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 membabitkan kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

KUALA LUMPUR: Kedudukan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sebagai pengimport tunggal beras di negara ini masih relevan dan selari dengan dasar kerajaan sedia ada.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata model penswastaan BERNAS yang bersifat subsidi silang memerlukan syarikat itu melaksanakan pelbagai obligasi sosial termasuk berkongsi keuntungan dengan pesawah.

“Kerajaan menyambut baik saranan dikemukakan Yang Berhormat (YB), namun dasar dilaksanakan pada ketika ini adalah masih relevan dalam mendepani situasi semasa.

“Model penswastaan BERNAS adalah bersifat subsidi silang (crosssubsidy), yang mana keuntungan import akan diguna pakai untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 membabitkan kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pasir Gudang dan Rasah mengenai isu monopoli import beras oleh BERNAS.

Katanya, berbanding perjanjian konsesi antara kerajaan terdahulu dengan BERNAS, Kerajaan Perpaduan sudah membuat penambahbaikan dengan menetapkan supaya BERNAS melaksanakan 10 obligasi sosial bernilai RM3.2 bilion.

“Ia meliputi pelbagai program dan insentif di sepanjang rantaian nilai industri, bagi tempoh perjanjian konsesi baharu.

Advertisement

“Pihak BERNAS juga bersetuju berkongsi 30 peratus daripada keuntungan bersih syarikat bersama 240,000 pesawah di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, prestasi BERNAS selaku pengimport utama beras negara sentiasa dipantau, malah kerajaan turut memberikan penilaian melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Author

Terkini

Lawyers for Liberty jangan putar belit isu penguasaan bahasa Melayu – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati Lawyers for Liberty (LFL) supaya tidak memutar-belitkan isu penguasaan bahasa Melayu dalam proses pembaharuan pasport.

Wartawan TMT

Published

on

Lawyers for Liberty jangan putar belit isu penguasaan bahasa Melayu - Saifuddin
Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) & Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek (kanan).
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati Lawyers for Liberty (LFL) supaya tidak memutar-belitkan isu penguasaan bahasa Melayu dalam proses pembaharuan pasport.
  • Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah menolak sebarang permohonan direkodkan hanya kerana rakyat negara ini gagal menguasai bahasa kebangsaan itu.
  • “Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu. Jadi LFL tidak perlu putar belit lebih.
  • “Hakikatnya tiada penolakan permohonan kerana bahasa, malah jumlah pasport yang kita keluarkan tahun ini adalah 2.3 juta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, dekat Slim River, di sini, hari ini.
  • Semalam, Pengarah LFL, Zaid Malek dilaporkan berkata menteri itu terkeliru mengenai syarat-syarat kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran dengan syarat kewarganegaraan sebagai perkara undang-undang.

Tanjung Malim: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati Lawyers for Liberty (LFL) supaya tidak memutar-belitkan isu penguasaan bahasa Melayu dalam proses pembaharuan pasport.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah menolak sebarang permohonan direkodkan hanya kerana rakyat negara ini gagal menguasai bahasa kebangsaan itu.

“Saya tidak pernah sebut bahasa Melayu menjadi syarat untuk dapatkan pasport. Takkan fakta semudah itu saya naif sehingga tak tahu. Jadi LFL tidak perlu putar belit lebih.

“Hakikatnya tiada penolakan permohonan kerana bahasa, malah jumlah pasport yang kita keluarkan tahun ini adalah 2.3 juta.

“Kalau ada penolakan contohnya mereka pemegang pasport negara melakukan kesalahan di luar seperti tinggal lebih masa, apabila membuat permohonan semula pasport sudah semestinya ada semakan dan mungkin berakhir dengan tidak lulus.

“Tetapi kerana bahasa Melayu…tiada,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Stesen Parol Daerah (SPD) Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kompleks Mini Kementerian Dalam Negeri (KDN) Daerah Muallim, dekat Slim River, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Mohamad; Ketua Pengarah Rela, Datuk Yahya Sulaiman dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Advertisement

Semalam, Pengarah LFL, Zaid Malek dilaporkan berkata menteri itu terkeliru mengenai syarat-syarat kewarganegaraan melalui penaturalisasian atau pendaftaran dengan syarat kewarganegaraan sebagai perkara undang-undang.

“Mengenakan syarat seperti itu adalah menyalahi undang-undang, keterlaluan dan akan menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai,” kata Zaid seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, sebagai warganegara adalah menjadi kewajipan untuk menguasai bahasa Melayu selaras martabatnya sebagai bahasa rasmi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara yang kita tekankan adalah setiap warganegara Malaysia apabila berurusan di kaunter kerajaan paling kurang boleh berbahasa Melayu.

“Baik LFL atau pihak lain, jangan putar belit sampai seolah-olah syarat permohonan adalah bahasa, padahal kita tak pernah ungkap.

“Saya anjurkan semua warganegara termasuk LFL utamakan dahulu bahasa Melayu,” katanya.

Advertisement

Terdahulu, seorang wanita mendakwa diherdik oleh pegawai imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Johor gara-gara tidak tidak fasih berbahasa Melayu semasa memohon pembaharuan pasport anaknya.

Sumber : Harian Metro

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending