Terkini
Kedah tidak larang pelancong bukan Islam pakai seluar pendek – Sanusi
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam memakai seluar pendek dan minum minuman keras di Langkawi.

- Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam memakai seluar pendek dan minum minuman keras di Langkawi.
- Beliau tidak faham isu dibangkitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, sedangkan portfolio dipegangnya memerlukan beliau melonjakkan lagi industri pelancongan termasuk di pulau legenda berkenaan .
- “Menteri itu boleh ‘mai’ (datang) ke Langkawi pakai seluar pendek sebab beliau bukan Islam dan tak ada siapa melarang pun.Sesiapa pun kalau agama mereka benarkan, pakailah tetapi tak bolehlah pakai sesuatu yang mencolok mata atau berbogel di pantai kerana itu tak sesuai dengan budaya kita,”
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan terdapat larangan terhadap pelancong bukan Islam memakai seluar pendek dan minum minuman keras di Langkawi.
Katanya, beliau tidak faham isu dibangkitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, sedangkan portfolio dipegangnya memerlukan beliau melonjakkan lagi industri pelancongan termasuk di pulau legenda berkenaan .
“Tak tahulah kenapa isu ini dibangkitkan, mungkin ada orang ‘cucuk’ beliau agaknya. Saya bukan nak gaduh dengan menteri tetapi beliau seharusnya datang tengok sendiri dan bukannya dengar cakap orang lain semata-mata.
“Menteri itu boleh ‘mai’ (datang) ke Langkawi pakai seluar pendek sebab beliau bukan Islam dan tak ada siapa melarang pun.
“Sesiapa pun kalau agama mereka benarkan, pakailah tetapi tak bolehlah pakai sesuatu yang mencolok mata atau berbogel di pantai kerana itu tak sesuai dengan budaya kita,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO, di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Baru-baru ini King Sing ketika di Parlimen mendakwa terdapat pelancong mengadu kepada kementerian berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa pegawai kerajaan tertentu di Langkawi yang mengganggu pelancong mengenai etika berpakaian dan pengambilan alkohol.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, tindakan King Sing membangkitkan isu terbabit seolah-olah menongkah arus dan boleh menjejaskan industri pelancongan di pulau berkenaan.
“Beliau jaga pelancongan tetapi apabila isu itu dibangkitkan, itu akan jejaskan pelancongan. Beliau telah buat kerja menongkah arus sedangkan perkara itu tak berlaku.
“Itu bukan kerja Kementerian Pelancongan. Seeloknya beliau ‘mai’ tengok di Langkawi ini dan itulah kerja yang patut dilakukan, bukan ‘pi’ jerkah kastam dan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu.
“Hat (perkara) tu bukan kerja pelancongan, elok mai tengok Langkawi, nak pakai seluar pendek seluar panjang mana pun ikut suka dia, kalau ada saiz la, kita dah buat paling baik dah untuk pelancongan bukan saja di Langkawi tapi juga di tanah besar,” katanya.
SUMBER : BERITA HARIAN
