Connect with us

Terkini

Bekalan beras dijangka stabil dalam tempoh sebulan – Mat Sabu

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin bekalan beras tempatan akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Bekalan beras dijangka stabil dalam tempoh sebulan – Mat Sabu
Foto: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
  • Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin bekalan beras tempatan akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi.
  • Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu walau bagaimanapun berkata, sementara mencapai tempoh itu, pihaknya giat melaksanakan langkah intervensi menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menampung bekalan beras.
  • Katanya, langkah itu diambil sama seperti ketika kerajaan berdepan dengan masalah bekalan ayam dan telur baru-baru ini.
  • Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di PPK Pokok Sena, di sini hari ini.

KEPALA BATAS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin bekalan beras tempatan akan kembali stabil dalam tempoh sebulan lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu walau bagaimanapun berkata, sementara mencapai tempoh itu, pihaknya giat melaksanakan langkah intervensi menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi menampung bekalan beras.

Katanya, langkah itu diambil sama seperti ketika kerajaan berdepan dengan masalah bekalan ayam dan telur baru-baru ini.

“Selain itu, seperti yang saya sebut dalam Dewan Rakyat kelmarin, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) sedang menuai padi dan kini sudah mencapai lebih 20 peratus.

“Bekalan beras itu akan dikilangkan sekali gus dapat menampung keperluan pengguna,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Jualan Beras Putih Tempatan di PPK Pokok Sena, di sini hari ini.

Menerusi program terbabit, sebanyak 2,000 kampit beras dijual khusus buat penduduk setempat.

Sementara itu, Mohamad menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembelian panik yang akan menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan beras di pasaran.

“Ada pengguna yang beli banyak daripada kadar biasa sebab bimbang bekalan beras tidak ada bulan depan.

“Kita perlu tahu yang kenaikan harga beras bukan berlaku di sini saja, malah di seluruh dunia termasuk negara jiran, Indonesia.

“Harga beras tempatan berada dalam kawalan dan setakat ini pihak pemborong dan pengilang memberikan kerjasama untuk mencukupkan bekalan beras di pasaran,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, kementeriannya turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memantau isu bekalan beras terbabit.

“Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood bersama pasukannya akan mengambil langkah agresif dan melakukan serbuan sekiranya menerima aduan berkaitan bekalan beras.

“Kita akan ambil tindakan tegas sekiranya ada aduan membabitkan tukar kampit beras tempatan kepada import untuk dijual pada harga lebih tinggi,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *