Terkini
Babitkan GLC, GLIC dalam sektor beras
Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disarankan untuk terbabit dalam rantaian pengedaran beras tempatan termasuk memainkan peranan memperkasa sektor itu.

- Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disarankan terbabit dalam rantaian pengedaran beras tempatan termasuk memainkan peranan memperkasa sektor itu.
- Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, saranannya itu sebagai langkah memastikan bekalan beras memenuhi keperluan domestik sentiasa mencukupi.
- Ia mengambil kira dakwaan ada pihak tertentu cuba mengaut untung mudah menukar bungkusan beras putih tempatan kepada kampit beras import, mengakibatkan kekurangan bekalan beras berkenaan dalam pasaran negara.
- “Oleh itu saya mencadangkan GLC atau GLIC milik Kerajaan Persekutuan yang mempunyai dana kewangan yang besar, supaya memainkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menceburi bidang pengedaran beras tempatan agar bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi,” katanya.
- Abd Ghani mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang berkaitan ‘anti rent-seeking’ atau berkonsep Ali Baba mengelak monopoli komoditi makanan utama oleh pihak tertentu.
KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) disarankan untuk terbabit dalam rantaian pengedaran beras tempatan termasuk memainkan peranan memperkasa sektor itu.
Dr Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, saranannya itu sebagai langkah untuk memastikan bekalan beras untuk memenuhi keperluan domestik sentiasa mencukupi.
Ia juga mengambil kira dakwaan bahawa ada pihak tertentu cuba mengaut untung mudah dengan menukar bungkusan beras putih tempatan kepada kampit beras import, mengakibatkan kekurangan bekalan beras berkenaan dalam pasaran negara.
“Baru-baru ini heboh di media sosial bahawa bungkusan beras (putih) tempatan ditukar kepada kampit beras import dengan tujuan untuk mengaut keuntungan segera.
“Ini berikutan BERNAS (Padiberas Nasional Bhd) telah menyelaraskan harga beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik.
“Oleh itu saya mencadangkan GLC atau GLIC milik Kerajaan Persekutuan yang mempunyai dana kewangan yang besar, supaya memainkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menceburi bidang pengedaran beras tempatan agar bekalan beras tempatan sentiasa mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam.
Abd Ghani turut mencadangkan kerajaan supaya menggubal undang-undang berkaitan ‘anti rent-seeking’ atau berkonsep Ali Baba untuk mengelak monopoli komoditi makanan utama oleh pihak tertentu.
“Isu ini perlu diperhalusi lanjut terutama yang melibatkan pihak swasta yang memonopoli pengedaran bahan keperluan utama, di mana di dalam sesetengah sektor pengedaran makanan telah wujud kartel atau pakatan perniagaan dengan tujuan untuk menaikkan harga barangan, umpamanya pengedaran beras,” katanya.
Selain dalam konteks industri beras, Abd Ghani berkata peranan GLC dan GLIC dalam konteks CSR juga perlu diperluas dalam sektor perumahan untuk rakyat.
“Saya dapati kekurangan perumahan kos rendah dan sederhana disebabkan wujud pemaju yang cenderung untuk membina rumah kos tinggi atau pangsapuri mewah, selain memajukan hartanah dengan membina kondominium mewah yang kemudian dijual kepada bukan rakyat asal.
“Jadi saya sarankan GLC dan GLIC jalankan CSR bina lebih banyak rumah kos rendah atau sederhana jika mahu melihat B40 atau M40 mampu memiliki rumah pertama dan kerajaan juga perlu menjayakan matlamat ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
