Terkini
Laman web TV Pertiwi disekat?
Selepas akaun TikTok, laman web TV Pertiwi pula tidak dapat dilayari. Ketua pegawai operasinya Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata sekatan itu dibuat oleh pihak kerajaan dan mereka menuntut penjelasan.
- Selepas akaun TikTok, laman web TV Pertiwi pula tidak dapat dilayari.
- Ketua pegawai operasinya Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata sekatan itu dibuat oleh pihak kerajaan dan mereka menuntut penjelasan.
- Katanya, semakan menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), iaitu 175.139.142.25.
- Katanya, sehingga pukul 6.30 petang semalam, TV Pertiwi tidak diberi sebarang notis.
- “Sekatan ini adalah sangat tidak wajar dan bercanggah dengan seruan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang dilaungkan oleh pihak kerajaan terutamanya parti Pakatan Harapan ketika mereka menjadi pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Selepas akaun TikTok, laman web TV Pertiwi pula tidak dapat dilayari. Ketua pegawai operasinya Mohd Firdaus Salleh Hudin berkata sekatan itu dibuat oleh pihak kerajaan dan mereka menuntut penjelasan.
Katanya, semakan menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), iaitu 175.139.142.25.
Katanya, sehingga pukul 6.30 petang semalam, TV Pertiwi tidak diberi sebarang notis.
“Sekatan terhadap laman web ini dikesan sekurang-kurangnya di dua penyedia perkhidmatan internet (ISP), Maxis dan Unifi.
“Sekatan ini adalah sangat tidak wajar dan bercanggah dengan seruan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang dilaungkan oleh pihak kerajaan terutamanya parti Pakatan Harapan ketika mereka menjadi pembangkang,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Mohd Firdaus menggesa kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital serta SKMM menjelaskan perkara itu selain menyatakan kesalahan telah dilakukan portal itu.
“TV Pertiwi selaku sebuah organisasi media bebas sewajarnya diberikan keadilan dan berhak menyiarkan kandungan termasuk mengkritik kerajaan dengan menggunakan hak kebebasan media dan hak kebebasan bersuara,” katanya.
Sementara itu, TV Pertiwi juga hari ini membuat laporan polis berkaitan sekatan itu “bagi mendapatkan penjelasan atas sebab laman web tersebut disekat”.
Laporan dibuat di Bandar Baru Bangi, tidak jauh dari pejabatnya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan seorang jurucakap TikTok berkata sekatan dibuat kerana akaun itu berulang kali melanggar garis panduan komuniti platform itu.
Pelanggaran itu, katanya, melibatkan kandungan yang mengandungi maklumat salah yang berbahaya dan boleh menimbulkan kemudaratan.
Tidak jelas siaran mana yang telah melanggar piawaian komuniti TikTok.
TV Pertiwi dimiliki Kerengga Merah Sdn Bhd.
Ia beroperasi daripada tempat yang sama dengan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Pengerusinya Norzila Baharin juga berkhidmat sebagai ketua Wanita NGO itu.
Berpangkalan di Bangi, media yang dilancarkan pada 2021 itu menyiarkan laporan dalam bentuk teks dan video dalam bahasa Malaysia.
Sebelum ini, ketika mengulas ke UtusanTV, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa tiada laman web berita akan disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Sumber: Malaysiakini