Terkini
Sistem kuota universiti merosotkan pendidikan negara – Ketua Pemuda MCA
Pemuda MCA berkata tindakan kerajaan mengekalkan sistem kuota dalam kalangan pelajar ke peringkat universiti awam adalah ibarat berpatah balik ke zaman dahulu.

- Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting berkata tindakan kerajaan mengekalkan sistem kuota dalam kalangan pelajar ke peringkat universiti awam adalah ibarat berpatah balik ke zaman dahulu.
- Beliau berkata generasi muda Malaysia dari semua kaum sentiasa mengimpikan Malaysia yang lebih adil dan harmoni, tetapi apa diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengecewakan kebanyakan generasi muda di Malaysia.
- Sistem kuota telah terbukti bukan sahaja tidak dapat membantu golongan tertentu, malah akan menyebabkan kemerosotan serius dalam tahap pendidikan negara, kata Siaw Ting.
Pemuda MCA berkata tindakan kerajaan mengekalkan sistem kuota dalam kalangan pelajar ke peringkat universiti awam adalah ibarat berpatah balik ke zaman dahulu.
Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong Siaw Ting dalam sebuah hantaran di Facebooknya berkata tindakan kerajaan itu membuatkan rakyat Malaysia yang penuh harapan terhadap masa depan Malaysia berasa kecewa.
“Walaupun Pemuda MCA adalah antara ahli kerajaan perpaduan, (kami) sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan dan tindakan Anwar. Pengumuman ini membuatkan rakyat Malaysia merasakan Malaysia telah kembali ke tahun 1960-an dan 1970-an, dan semuanya kembali ke titik asal,” katanya.
Beliau berkata generasi muda Malaysia dari semua kaum sentiasa mengimpikan Malaysia yang lebih adil dan harmoni tetapi apa diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengecewakan kebanyakan generasi muda di Malaysia.
Katanya, MCA tidak pernah berputus asa untuk memperjuangkan layanan yang lebih adil untuk semua kaum tetapi sering difitnah ramai pihak.
“MCA tidak pernah berundur walaupun diserang dan dikritik oleh parti sekutu sewaktu zaman pemerintahan Barisan Nasional, termasuk dalam isu pemansuhan kuota universiti,” katanya.
Menurut Siaw Ting, sistem kuota terbukti bukan sahaja tidak dapat membantu golongan tertentu, malah akan menyebabkan kemerosotan serius dalam tahap pendidikan negara.
Pada 8 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengekalkan sistem kuota dalam kalangan pelajar ke peringkat universiti awam bagi menjamin hak istimewa orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sumber: Facebook Nicole Wong
