Connect with us

Terkini

Promosi industri halal, Malaysia-Filipina perlu langkah efektif – PM

Malaysia dan Filipina perlu mengambil langkah lebih efektif mempromosikan industri halal yang semakin berkembang untuk menembusi pasaran di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Promosi industri halal, Malaysia-Filipina perlu langkah efektif – PM
Foto: Perdana Menteri (kanan) menyambut ketibaan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr (kiri) di Bangunan Perdana Putra.
  • Malaysia dan Filipina perlu mengambil langkah lebih efektif mempromosikan industri halal yang semakin berkembang untuk menembusi pasaran di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • “Kami menyentuh mengenai potensi industri halal antara kedua-dua negara, terutama dalam aspek pensijilan halal.
  • “Bagaimanapun, saya berpandangan kita perlu mengambil langkah untuk memastikan sektor halal ini dapat menembusi dengan lebih efektif di pasaran negara Asia Barat,” katanya pada sidang media bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr sempena lawatan rasminya ke Malaysia, semalam.

PUTRAJAYA – Malaysia dan Filipina perlu mengambil langkah lebih efektif mempromosikan industri halal yang semakin berkembang untuk menembusi pasaran di Asia Barat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kedua-dua negara memiliki potensi dalam industri berkenaan.

“Kami menyentuh mengenai potensi industri halal antara kedua-dua negara, terutama dalam aspek pensijilan halal.

“Bagaimanapun, saya berpandangan kita perlu mengambil langkah untuk memastikan sektor halal ini dapat menembusi dengan lebih efektif di pasaran negara Asia Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr sempena lawatan rasminya ke Malaysia.

Anwar berkata, dalam perbincangannya dengan Marcos, kedua-dua negara menyentuh mengenai usaha untuk memperkasakan hubungan bilateral terutama berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Katanya, kekuatan hubungan antara kedua-dua negara memberi lebih ruang dan peluang untuk meneroka potensi yang ada.

“Filipina mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri dalam kapasiti sektor perniagaan dan saya berpandangan komuniti perniagaan perlu bersama mengambil peluang mengembangkan lagi hubungan bilateral serta ekonomi dan pada masa sama menghidupkan semula ekonomi kita pasca pandemik COVID-19.

“Kami juga mengambil maklum ada perkembangan baik pasca COVID-19 di Filipina dan di bawah pentadbiran Presidennya, kami semestinya akan mengambil peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau dan Marcos turut menyentuh mengenai Myanmar terutama berhubung isu kemanusiaan dan layanan kepada etnik minoriti Rohingya.

Katanya, biarpun wujud konsensus dalam kalangan negara ASEAN untuk mengadakan libat urus rasmi, ia tidak seharusnya mengorbankan isu kemanusiaan.

“Akhir sekali, isu yang kami sentuh adalah mengenai suruhanjaya bersama yang akan bertemu hujung tahun ini dan kita ada beberapa perjanjian persefahaman (MoU) yang kami berdua bersetuju untuk mempercepatkan prosesnya,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan lawatan rasmi Marcos ke negara ini sebagai unik dan bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Malaysia dan Filipina memiliki hubungan bilateral yang panjang dan kehadiran Presiden Marcos ke Malaysia amat bermakna kepada kami kerana kita mempunyai sejarah perhubungan yang panjang dari segi budaya dan sebagainya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author