Terkini
Isu rasuah visa: Pegawai penguatkuasa Suruhanjaya Tinggi direman
Seorang pegawai penguat kuasa di sebuah Suruhanjaya Tinggi direman empat hari kerana disyaki menerima wang rasuah dianggar lebih RM100 juta bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.

- Seorang pegawai penguat kuasa di sebuah Suruhanjaya Tinggi direman empat hari kerana disyaki menerima wang rasuah dianggar lebih RM100 juta bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.
- Turut direman, pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja dipercayai rakan subahat pegawai terbabit.
- Majistret M. Mageshwary membenarkan kedua-dua suspek direman bermula hari ini sehingga 31 Julai setelah permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Shah Alam, Selangor hari ini.
- Siasatan mendapati pegawai penguatkuasa yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi itu dipercayai bersekongkol dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia dan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di negara ini sejak 2021.
PUTRAJAYA: Seorang pegawai penguat kuasa di sebuah Suruhanjaya Tinggi direman empat hari kerana disyaki menerima wang rasuah dianggar lebih RM100 juta bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.
Turut direman, pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja dipercayai rakan subahat pegawai terbabit.
Majistret M. Mageshwary membenarkan kedua-dua suspek direman bermula hari ini sehingga 31 Julai setelah permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Shah Alam, Selangor hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lewat 30-an itu dipercayai ditahan jam 6.30 petang semalam ketika diminta hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan mendapati pegawai penguat kuasa yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi itu dipercayai bersekongkol dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia dan sengaja menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di negara ini sejak 2021.
Siasatan juga mendapati pegawai berkenaan dipercayai menerima habuan sekitar AS$300 (RM1,363) ke AS$500 (RM2,272) bagi setiap kelulusan permohonan VLN.
Ia melibatkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa ditetapkan kerajaan hanya RM105.
“Seorang individu yang ditahan ini dipercayai pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa tersebut,” kata sumber.
Tambahnya, pegawai berkenaan adalah pegawai agensi penguat kuasa ketiga yang ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan dua pegawai JIM yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh kerana disyaki menerima suapan bagi pengeluaran VLN dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya, siasatan kes mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Sumber: Buletin TV3
