Terkini
Isu kalimah Allah: Salah semua kerajaan!
Semua kerajaan, dahulu dan sekarang, dilihat gagal dalam menyelesaikan isu kontroversi kes Jill Ireland membabitkan penggunaan kalimah Allah.
- Semua kerajaan, dahulu dan sekarang, dilihat gagal dalam menyelesaikan isu kontroversi kes Jill Ireland membabitkan penggunaan kalimah Allah.
- Demikian penegasan pengamal undang-undang, Haniff Khatri Abdulla susulan tindakan beberapa pihak yang dilabel ‘pentaksub politik’ menggunakan video beliau berhubung isu itu bagi menyalahkan lawan masing-masing.
- Haniff Khatri adalah peguam yang mewakili MAIS, MAIWP dan MAIK sebagai “Rakan Mahkamah” di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes terbabit.
- “Sememangnya lucu dan kelakar tindak-tanduk para pentaksub politik, yang masih tidak sedar bagaimana kesemua mereka sebenarnya bersalah secara bersama kepada kesemua rakyat berkaitan ketiadaan penyelesaian kontroversi kes Jill Ireland (Kalimah Allah #2). Ini, bagaikan peribahasa; ‘Kata periuk belanga hitam!!’,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
KUALA LUMPUR — Semua kerajaan, dahulu dan sekarang, dilihat gagal dalam menyelesaikan isu kontroversi kes Jill Ireland membabitkan penggunaan kalimah Allah.
Itu penegasan pengamal undang-undang, Haniff Khatri Abdulla susulan tindakan beberapa pihak yang dilabel ‘pentaksub politik’ menggunakan video beliau berhubung isu itu bagi menyalahkan musuh masing-masing.
Haniff Khatri adalah peguam yang mewakili MAIS, MAIWP dan MAIK sebagai “Rakan Mahkamah” di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes terbabit.
“Sememangnya lucu dan kelakar tindak-tanduk para pentaksub politik, yang masih tidak sedar bagaimana kesemua mereka sebenarnya bersalah secara bersama kepada kesemua rakyat berkaitan ketiadaan penyelesaian kontroversi kes Jill Ireland (Kalimah Allah #2).
“Ini, bagaikan peribahasa; ‘Kata periuk belanga hitam!!’,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Haniff Khatri mula memberi komen dalam isu berkenaan menerusi video pada 15 April 2021 iaitu selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 10 Mac 2021 diumumkan ketika pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada 20 Mei 2023, beliau turut mengeluarkan kenyataan susulan penarikan balik rayuan kes terbabit di Mahkamah Rayuan pada 18 April 2023 yang didedahkan pada 15 Mei 2023 iaitu semasa pemerintahan Kerajaan Perpaduan PH-BN di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan itu disiarkan menerusi video beberapa media termasuk TV Pertiwi pada 20 Mei 2023.
“Secara konsisten, di dalam semua video berkenaan, saya dengan jelas menyatakan kontroversi isu ini disumbangkan secara langsung dan secara tidak langsung oleh kesemua kerajaan yang pernah urus tadbir negara sejak tahun 2000 hingga kini!
“Tapi ia tidak mengejutkan saya, apabila pentaksub politik daripada parti masing-masing mempergunakan video-video saya itu bagi tujuan untuk hanya salahkan musuh masing-masing, tanpa melihat video lain yang turut sama menjelaskan sumbangan parti pentaksub masing-masing dalam melaratkan masalah kontroversi ini yang masih belum diselesaikan!” katanya.
Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata videonya yang disiarkan Malaysian Insight pada 15 April 2021 di Siri: 2573, dipergunakan pentaksub PH-BN untuk menyalahkan PN.
Manakala, videonya yang disiarkan TV Pertiwi pada 20 Mei 2023 di Siri: 3935 pula disalahgunakan pentaksub PN untuk menyalahkan PH-BN.
Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lalu menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.
Keputusan kerajaan dan KDN itu bagaimanapun menimbulkan polemik berhubung isu penggunaan kalimah Allah di negara ini. — The Merdeka Times
Sumber: Facebook Haniff Khatri