Terkini
PM cadang badan bebas siasat aduan, salah laku badan penguatkuasaan
Kerajaan bercadang menubuhkan sebuah badan bebas bagi menyiasat aduan dan laporan yang dibuat terhadap agensi penguatkuasaan.

- PM, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebagai penambahbaikan dalam amalan agensi penguat kuasa menyiasat dalam kalangan mereka sendiri apabila sesuatu dakwaan atau aduan dibuat.
- Ini bagi memastikan badan penguatkuasaan terbabit kes salah laku tidak menyiasat sendiri secara dalaman mana-mana kes atau aduan diterima membabitkan pegawai atau anggota mereka.
- Ia membabitkan badan penguatkuasaan seperti PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan SPRM.
- “Saya nak minta Peguam Negara cadangan awal supaya ada mekanisme untuk semua badan penguatkuasaan kalau ada pertuduhan khas terhadap pegawai SPRM, Imigresen, Kastam atau polis maka ada badan bebas.
- “Sudah ada arahan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kemukakan cadangan supaya badan penguat kuasa ini tidak menyiasat sendiri tetapi ada satu badan lain yang bebas menyiasat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang menubuhkan sebuah badan bebas bagi menyiasat aduan dan laporan yang dibuat terhadap agensi penguatkuasaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebagai penambahbaikan dalam amalan agensi penguat kuasa menyiasat dalam kalangan mereka sendiri apabila sesuatu dakwaan atau aduan dibuat.
Beliau berkata ini bagi memastikan badan penguatkuasaan yang terbabit dalam kes salah laku tidak menyiasat sendiri secara dalaman mana-mana kes atau aduan diterima membabitkan pegawai atau anggota mereka.
Perdana Menteri berkata, ia membabitkan badan penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jadi saya nak minta Peguam Negara cadangan awal supaya ada mekanisme untuk semua badan penguatkuasaan kalau ada pertuduhan khas terhadap pegawai SPRM, Imigresen, Kastam atau polis maka ada badan bebas.
“Sudah ada arahan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kemukakan cadangan supaya badan penguat kuasa ini tidak menyiasat sendiri tetapi ada satu badan lain yang bebas menyiasat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan celahan dikemukakan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) mengenai langkah diambil kerajaan jika ada aduan khususnya membabitkan pegawai tertinggi penguatkuasaan dalam memastikan siasatan dijalankan pihak bebas dan parlimen diberi kuasa membuat pertanyaan selepas siasatan itu dilengkapkan.
Mengulas soalan tambahan dikemukakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai jaminan pelantikan baharu atau penyambungan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Anwar berkata, perkara itu terserah kepada Parlimen.
“Terserah kepada kemajuan dibuat Parlimen, diputuskan dicadangkan Transparency International Malaysia (TI-M) ada badan lain diteliti.
“Tentunya Jabatan Peguam Negara dan agensi kerajaan sebelum dipindahkan kepada jawatankuasa pilihan.
“Jika proses ini sempat, maka proses itu saya tiada masalah tetapi proses itu haruslah dihormati,” katanya.
Berhubung cadangan TI-M supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen, Anwar berkata, peruntukan undang-undang sekarang menjamin kebebasan SPRM dan tidak tertakluk di bawah arahan Perdana Menteri.
“Dalam peraturan sekarang ada jawatankuasa khas mengenai rasuah, lembaga penasihat pencegahan rasuah, jawatankuasa aduan, panel penilaian operasi, panel perundingan dan pencegahan rasuah.
“Sebab itu jika dibangkitkan dan memang sudah ada kajian setakat ini mantan Perdana Menteri lalu juga telah mengambil beberapa inisiatif, berunding dan menimbang, maka saya tidak bermasalah untuk menimbang syor TI-M dan lain-lain,” katanya.
Sumber: Harian Metro
