Connect with us

Terkini

Jangan lantik syarikat dari Kota Kinabalu buat sekolah di Semporna – Shafie Apdal

Kerajaan perlu memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih sekolah-sekolah daif di Sabah.

Wartawan TMT

Published

on

Jangan lantik syarikat dari Kota Kinabalu buat sekolah di Semporna -Shafie Apdal
Foto: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
  • “Dalam pembinaan sekolah-sekolah daif ini, galakkan kontraktor kelas F (tempatan), jangan lantik syarikat dari Kota Kinabalu buat sekolah di Semporna, bagi ruang kepada anak tempatan, usahawan di kampung dan daerah itu untuk laksanakan.
  • Tindakan itu juga secara tidak langsung boleh merancakkan kembali ekonomi setempat. – Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
  • “Oleh itu saya harap bukan hanya kandungan prasarana (diutamakan) tapi beri perhatian juga tentang tenaga kerja, guru-guru yang ada. Adakan susun atur kerana tidak mahu anak-anak kita jadi penganggur di kampung atau berhijrah ke tempat lain,” katanya.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih sekolah-sekolah daif di Sabah.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan itu juga secara tidak langsung boleh merancakkan kembali ekonomi setempat.

“Dalam pembinaan sekolah-sekolah daif ini, galakkan kontraktor kelas F (tempatan), jangan lantik syarikat dari Kota Kinabalu buat sekolah di Semporna, bagi ruang kepada anak tempatan, usahawan di kampung dan daerah itu untuk laksanakan.

“Saya yakin dengan (peruntukan) RM500,000 atau RM1 juta, projek pembaikan mampu dilaksanakan oleh anak tempatan sebaik mungkin. Harap KPM (Kementerian Pendidikan) dapat pastikan supaya kemudahan dapat ditingkatkan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.2 bilion bagi pembaikan 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan had sebut harga perolehan kerja pembaikan sehingga RM1 juta.

Dalam pada itu Mohd Shafie berkata, terdapat lebih 500 sekolah daif di Sabah yang tidak mempunyai kelengkapan asas seperti tandas dan bilik guru.

“Saya berpeluang untuk buat lawatan di (daerah) Pitas, Long Pasia. Tandas dan bilik guru pun tiada. Ketika itu saya bagi arahan (peruntukan) RM70,000 daripada kerajaan negeri untuk buat tandas dan bilik guru.

“Saya tanya guru-guru, macam mana anak-anak ini nak buang air. Mereka pergi ke hutan. (Walaupun) Tidak sedap untuk disebutkan, tetapi inilah yang berlaku di negara kita.

“Oleh itu saya harap bukan hanya kandungan prasarana (diutamakan) tetapi beri perhatian juga tentang tenaga kerja, guru-guru yang ada. Adakan susun atur kerana tidak mahu anak-anak kita jadi penganggur di kampung mereka atau berhijrah ke tempat lain,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2023, bekas Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah itu melahirkan kebimbangan terhadap sistem penyampai kerajaan bagi memastikan peruntukan yang disifatkan terbesar dalam sejarah negara itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Saya tidak pernah menyelami keadaan belanjawan yang begini besar, kebimbangan saya (adalah) kita bahas bulan Mac dan mungkin April akan diluluskan. (sekarang) Sudah hampir setengah tahun.

“Bayangakan hampir RM388 bilion yang perlu disiapkan dalam jangka masa yang pendek. (Persidangan) Dewan Negara belum mula lagi. Maka sistem penyampaian sangat cruetial,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

https://www.sinarharian.com.my/article/247575/berita/nasional/beri-peluang-kontraktor-tempatan-baik-pulih-sekolah-daif

Author

Terkini

Jangan terpedaya helah sami palsu minta sedekah – Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.
  • Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.
  • Pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, PDRM, Perbadanan Harmoni Pulau Pinang, Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 
  • “Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 
  • “Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Orang awam khususnya pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu yang difahamkan menjalankan kegiatan meminta sedekah.

MBPP berkata berdasarkan siasatan pihak Majlis didapati terdapat sindiket yang mendalangi aktiviti tidak sihat membabitkan sami palsu tersebut.

Sehubungan itu, pihak Majlis telah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jabatan teknikal Majlis dan agensi luar seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Harmoni Pulau Pinang (Harmonico), Malaysian Buddhist Association dan United Buddhist Organisation Malaysia untuk membanteras kehadiran kelompok sami palsu itu di pasar kompleks makanan Majlis. 

“Kerjasama semua orang awam terutamanya para pelanggan di pasar atau kompleks makanan adalah dimohon supaya lebih peka dan tidak terpedaya dengan kehadiran mereka dalam meminta sedekah. 

“Sekiranya ingin menghulurkan bantuan, adalah digalakkan secara memberi makanan dan bukan wang ringgit kepada sami-sami palsu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Rabu.

Difahamkan, hari ini Ahli Majlis Tan Soo Siang, Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bersama Ahli Majlis Choong You Ray dan Quah Boon Lim telah mengadakan satu sidang media khas di Kompleks Makanan Batu Lanchang, Pulau Pinang untuk menguar-uarkan kepada orang awam terutama pelanggan di pasar, kompleks makanan Majlis supaya tidak terpedaya dengan kehadiran sami-sami palsu itu.

Selepas sidang media tersebut, beberapa Ahli Majlis bersama pegawai Jabatan Pelesenan mengedarkan pelekat peringatan kepada para peniaga dan turut meletakkannya di atas meja makan untuk memberi maklumat dan kesedaran kepada orang awam.

Foto beberapa Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, termasuk Tan Soo Siang (tengah) yang dimuat naik MBPP di Facebook hari ini.

MBPP berkata untuk menangani masalah isu sami palsu tersebut, pihak Majlis akan  mengadakan beberapa langkah pencegahan antaranya melakukan Operasi Serbu Bersepadu bersama agensi-agensi pihak berkuasa seperti PDRM dan Imigresen serta sami-sami yang dikesan akan diminta meninggalkan bangunan pasar atau kompleks makanan dengan serta-merta.

Antara lokasi yang kerap menjadi kunjungan sami-sami palsu tersebut adalah Tapak Penjaja Lebuh Cecil; Pasar Jelutong; Pasar dan Kompleks Makanan Batu Lanchang; Pasar dan Kompleks Makanan Bayan Baru; Pasar Ayer Itam; Pasar dan Kompleks Makanan Padang Tembak; Kompleks medan angsana; PSS Jalan Chowrasta; Pasar Pulau Tikus; Kompleks Lebuh Pitt; Kompleks Lorong Stewart dan Tapak Penjaja Lorong Baru. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending