Connect with us

Terkini

“Umat Islam berhak pertahan ajaran agama mereka,” – Mufti Pulau Pinang bidas netizen label Islam agama pengacau

“Umat Islam juga berhak mempertahankan ajaran agama mereka supaya tidak dihina oleh orang bukan Islam,” tegas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor susulan kecaman terhadap Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang bertegas untuk tidak berkompromi dengan tindakan tular sekumpulan pelancong warga asing berkelah sambil bermandi-manda di Pulau Besar dengan hanya mengenakan bikini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Umat Islam berhak pertahan ajaran agama mereka,” – Mufti Pulau Pinang bidas netizen label Islam agama pengacau
Foto: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor
  • Kenyataan tegas itu dibuat Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor susulan kecaman terhadap JAIM.
  • Ini di mana penguatkuasa agama itu bertegas untuk tidak berkompromi dengan tindakan tular sekumpulan pelancong warga asing berkelah sambil bermandi-manda di Pulau Besar dengan hanya mengenakan bikini.
  • Datuk Seri Dr Wan Salim turut menyangkal dakwaan netizen yang melabel Islam sebagai agama pengacau.
  • Jelas beliau adalah menjadi tanggungjawab penguasa agama Islam sebagai perisai yang melindungi maruah dan jati diri masyarakat Islam.

 

KUALA LUMPUR – “Umat Islam juga berhak mempertahankan ajaran agama mereka supaya tidak dihina oleh orang bukan Islam,” tegas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor susulan kecaman terhadap Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang bertegas untuk tidak berkompromi dengan tindakan tular sekumpulan pelancong warga asing berkelah sambil bermandi-manda di Pulau Besar dengan hanya mengenakan bikini.

“Untuk mengimbangi di antara kebebasan pelancong yang bukan beragama Islam dengan hak mempertahan identiti dan jati diri masyarakat Islam, saya ingin mencadangkan Kementerian Pelancongan menyediakan kawasan yang khusus,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.

Cadangan ini menurut beliau bagi memastikan pelancong asing bebas berkelakuan sebagaimana yang mereka kehendaki tanpa diganggu oleh mana-mana pihak selain tidak terdedah kepada pandangan umum.

Datuk Seri Dr Wan Salim turut menyangkal dakwaan netizen yang melabel Islam sebagai agama pengacau.

Jelas beliau adalah menjadi tanggungjawab penguasa agama Islam sebagai perisai yang melindungi maruah dan jati diri masyarakat Islam.

“Apa yang dianggap sebagai pengacau oleh penyokong-penyokong Siti Kasim, maka pada pandangan pihak penguasa agama Islam ia adalah merupakan perisai yang melindungi maruah dan jati diri masyarakat Islam.

“Begitu juga apa yang dikatakan kebebasan oleh Siti Kasim maka dipandang sebagai jahiliah oleh pihak agamawan,” katanya.

Pihak penguatkuasa agama juga tegas beliau tidak bertindak berdasarkan undang-undang sahaja.

“Tetapi juga mengambil kira nilai-nilai moral seperti diajar di dalam agama Islam dan juga adat resam yang dihormati dan dijunjung tinggi oleh masyarakat setempat,” katanya.

Hantaran Facebook Peguam Siti Kasim itu mengundang pelbagai reaksi berunsur Islamofobia yang antara lain mahu Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) dibubarkan.

Menurut Mufti Pulau Pinang itu, cadangan tersebut  bakal memberi kesan buruk di mana urusan hal ehwal agama Islam akan menjadi tidak seragam antara negeri-negeri di Malaysia.

“Jika JAKIM dibubarkan, maka tiada lagi satu institusi penyelaras hal ehwal. Ini akan menyebabkan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam menjadi kucar kacir dan bercelaru.

“Majlis Raja-raja tentunya akan sukar membuat keputusan bersama dalam hal-hal yang membabitkan agama Islam di seluruh negara,” katanya.

The Merdeka Times juga mencuba untuk menghubungi Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkaitan perkara ini, namun beliau masih belum berhasrat untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

Author