Connect with us

Terkini

NGO hak asasi wanita rela tubuh wanita jadi material dagangan

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dilihat seolah-olah membiarkan tubuh wanita dijadikan material dagangan berikutan berpandangan pendirian Fahmi Fadzil menolak aksi bercumbu dan berbikini dalam trailer filem Pulau ditayangkan menjurus kepada ekstremisme.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi,
  • Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dilihat seolah-olah membiarkan tubuh wanita dijadikan material dagangan berikutan berpandangan pendirian Fahmi Fadzil menolak aksi bercumbu dan berbikini dalam trailer filem Pulau ditayangkan menjurus kepada ekstremisme.
  • Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, menyifatkan situasi itu sangat menyedihkan apabila pendirian yang berteraskan al-Quran dilihat oleh pihak tersebut sebagai ‘kemerosotan’ dan ‘ekstremisme’.
  • Ahmad Sanusi berkata, inilah bahana yang dibawa pemikiran liberalisme dan feminisme yang menyalut ajaran Islam dengan konotasi negatif.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dilihat seolah-olah membiarkan tubuh wanita dijadikan material dagangan berikutan berpandangan pendirian Fahmi Fadzil menolak aksi bercumbu dan berbikini dalam trailer filem Pulau ditayangkan menjurus kepada ekstremisme.

Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, menyifatkan situasi itu sangat menyedihkan apabila pendirian yang berteraskan al-Quran dilihat oleh pihak tersebut sebagai ‘kemerosotan’ dan ‘ekstremisme’.

Ahmad Sanusi berkata, inilah bahana yang dibawa pemikiran liberalisme dan feminisme yang menyalut ajaran Islam dengan konotasi negatif.

“Kemuliaan wanita itu dipelihara, bukan ditelanjangkan tubuhnya untuk tatapan awam.

“Dalam al-Quran Allah memerintahkan memelihara hak wanita dan menjaga aurat mereka.  Agak menghairankan bagaimana NGO hak asasi wanita itu sendiri membiarkan tubuh wanita dijadikan material dagangan.

“Pada hakikatnya bantahan dibuat orang ramai adalah berdasarkan panduan Islam itu sendiri. 

“Adegan terlalu seksi dan plot bercumbuan adalah sangat tidak wajar ditayangkan apatah lagi Perdana Menteri baru sahaja melaungkan konsep Karamah Insaniyah (kemuliaan insan),” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, media melaporkan wakil NGO WAO menyatakan, pandangan mengenai badan wanita, seksualiti dan penapisan adalah kemerosotan menuju ekstremisme.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon ke atas pendirian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menegaskan trailer filem bergenre seram Pulau tidak sesuai untuk ditayangkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi memetik semula laporan dikeluarkan Berita Harian bertarikh 28 Januari 2018, iaitu 13 daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia dilaporkan menetapkan dasar ‘standard grooming’ yang melarang pekerja wanita bertudung.

Datuk Seri Richard Riot selaku Menteri Sumber Manusia ketika itu mengatakan berdasarkan pemeriksaan dijalankan antara Disember 2017 sehingga 28 Januari 2018, larangan itu membabitkan bahagian tertentu, khususnya di bahagian makanan dan minuman (F&B) serta bahagian hadapan.

“Ingatkah kita pada 28 Januari 2018 dahulu, Berita Harian melaporkan seramai 13 pekerja hotel daripada 88 hotel di Malaysia telah melarang wanita Muslimah mereka dari memakai tudung atas alasan “standard grooming.”

“Ketika kumpulan wanita Muslimah ini berusaha mencari rezeki yang halal, tiada pula kedengaran gerakan NGO atau pemikir liberal seperti ini bersungguh-sungguh melaungkan hak asasi kemanusiaan atau bersungguh membela nasib wanita muslimah untuk memelihara aurat mereka. 

“Namun apabila ada adegan seksi, di situ pula mereka hadir mempertahankan isu wanita,” katanya.

Sebelum ini, trailer filem bergenre seram ‘Pulau’ yang bakal ditayangkan Mac ini berdepan pelbagai kritikan kerana sebahagian babak filem itu didakwa menormalisasikan budaya barat dan tidak senonoh. 

Filem itu memaparkan sekumpulan muda-mudi yang pergi bercuti dan kemudian mengalami kejadian misteri apabila melawat pulau terlarang, walaupun penduduk tempatan telah memberikan amaran.- The Merdeka Times

Sumber : Facebook Dr Ahmad Sanusi

Author