Connect with us

Terkini

Kementerian akan bincang keperluan ‘pendidikan seksual’ untuk kanak-kanak – Nancy Shukri

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menganjurkan mesyuarat penyelarasan dengan kementerian lain..

Wartawan TMT

Published

on

Kementerian akan bincang keperluan ‘pendidikan seksual’ untuk kanak-kanak – Nancy Shukri
Foto: Datuk Seri Nancy Shukri (kiri)
  • Perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat kabinet, menekankan keperluan untuk bina ekosistem dalam komuniti dengan kementerian yang relevan untuk tangani isu itu. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Nancy Shukri
  • “Tujuan mesyuarat itu untuk mengetahui apa yang terkandung dalam modul dan mata pelajaran bagi pelajar yang berada di bawah sistem pendidikan negara pada masa ini.”
  • “Melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu penderaan fizikal, seksual dan emosi.”
  • “Suruhanjaya itu bebas memantau urusan berkaitan dengan kanak-kanak dan akan membantu kementeriannya dan juga kementerian lain seperti KDN dan Kementerian Pendidikan yang berurusan dengan kanak-kanak,” katanya.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menganjurkan mesyuarat penyelarasan dengan kementerian lain yang berkaitan selepas cuti Tahun Baru Cina ini bagi membincangkan keperluan pendidikan seksual untuk kanak-kanak, kata menterinya Nancy Shukri.

Bercakap kepada media hari ini, Nancy berkata perkara itu telah dibangkitkan semasa mesyuarat kabinet, menekankan keperluan untuk membina ekosistem dalam komuniti dengan kementerian yang relevan untuk menangani isu itu.

“Ia tidak sepatutnya terletak di bawah kita (KPWKM) semata-mata,” katanya selepas melancarkan sesi dialog bersama orang ramai untuk Perkhidmatan Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat 2023 di kementerian itu di Putrajaya hari ini.

“Saya akan adakan mesyuarat penyelarasan bukan sahaja dengan Kementerian Pendidikan, kita mahu bawa masuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana kita perlu ada ekosistem dengan masyarakat.

“Kami juga memerlukan Menteri Agama (Mohd Na’im Mokhtar) dan Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh), kerana beliau pernah berkhidmat di kementerian ini sebelum ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, dia berkata tujuan mesyuarat itu juga adalah untuk mengetahui apa yang terkandung dalam modul dan mata pelajaran bagi pelajar yang berada di bawah sistem pendidikan negara pada masa ini.

“Apabila mereka (kementerian berkaitan) ada program, mereka mesti ada program keibubapaan, nilai dan pendidikan.”

Terdahulu, Nancy berkata kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan sebanyak 5,572 kes melibatkan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu penderaan fizikal, seksual dan emosi.

Nancy yang juga ahli Parlimen Santubong berkata kesemua kes ini dikendalikan oleh pegawai JKM yang bertindak sebagai penjaga seperti yang diwartakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Dia turut menyeru pegawai kementerian serta JKM agar sentiasa memantau isu-isu berkaitan kanak-kanak yang berlaku di media sosial.

Sementara itu, Nancy turut memuji penubuhan suruhanjaya kanak-kanak bebas di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), dengan berkata ia boleh membantu memberikan semak dan imbang kepada kementeriannya serta kementerian lain yang berkaitan.

Dia berkata penubuhan suruhanjaya itu tidak akan mengakibatkan pertindihan tugas di kalangan kementerian.

“Walaupun kementerian kita bertanggungjawab memberi syor kepada suruhanjaya itu, tetapi suruhanjaya itu bukan di bawah kementerian kita.

“Suruhanjaya itu bebas memantau urusan berkaitan dengan kanak-kanak dan akan membantu kementeriannya dan juga kementerian lain seperti KDN dan Kementerian Pendidikan yang berurusan dengan kanak-kanak,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

 

 

 

Author

Terkini

Segera lapor SPRM jika jadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak yang percaya mereka telah menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
  • SPRM gesa pihak yang percaya mereka menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.
  • “Sekiranya SPRM menerima apa-apa maklumat atau laporan mengenai penyelewengan hal-hal berkaitan perkara jenayah yang menukar status tanah rizab Melayu kepada hak milik kekal (free hold) merupakan kesalahan jenayah yang sudah tentu kita akan lakukan siasatan,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada media hari ini.
  • Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini.
  • Semalam, seorang pengarah urusan syarikat hartanah ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Manjong, Setiawan, Perak.

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak yang percaya mereka telah menjadi mangsa kes pemecahan lot tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu untuk segera membuat laporan kepada agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kes seperti itu dari negeri-negeri lain dan menyifatkan apa yang berlaku di Perak baru-baru ini sebagai kes terpencil.

“Sekiranya SPRM menerima apa-apa maklumat atau laporan mengenai penyelewengan hal-hal berkaitan perkara jenayah yang menukar status tanah rizab Melayu kepada hak milik kekal (free hold) merupakan kesalahan jenayah yang sudah tentu kita akan lakukan siasatan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Azman Adnan.

Semalam, seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan SPRM untuk membantu siasatan kes pemecahan lot membabitkan kira-kira 650 hektar tanah rizab Melayu kepada tanah bukan Melayu di Mukim Manjong, Setiawan, Perak.

Difahamkan, syarikat suspek berusia 44 tahun itu dipercayai terbabit melakukan pemecahan lot tanah di mukim berkenaan menjadi tanah bukan Melayu, seterusya dijual menjadi lot rumah dan banglo.

Siasatan SPRM juga mendapati sejumlah 317 lot dipecahkan kepada individu serta syarikat yang sebahagian besarnya adalah bukan Melayu.

Penahanan itu adalah rentetan kepada tangkapan seorang bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian Perak yang sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, bulan lalu. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending