Terkini
Wujudkan jawatankuasa khas kaji beban tugas guru – NUTP
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan segera mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula beban tugas guru.

- Jawatankuasa itu penting dalam usaha mencari resolusi selesaikan beban tugas guru yang bagai tiada kesudahan agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna. – Presiden NUTP, Aminuddin Awang
- “Sekarang ini guru-guru banyak dibebani dengan tugasan yang tidak relevan seperti kerja-kerja perkeranian sekaligus menyebabkan masa guru antara murid kurang,”
- “Beban kerja tersebut jika tidak ditangani secara berhati-hati dibimbangi akan membangkitkan gelombang kemarahan golongan guru terhadap KPM dan jadi punca ramai guru memilih untuk bersara awal.”
- “NUTP berharap Fadhlina dapat teruskan dasar atau inisiatif baik yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini agar guru dan murid tidak terbeban dengan perubahan dasar setiap kali berlaku pertukaran kerajaan atau menteri.”
MELAKA – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa kerajaan segera mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula beban tugas guru.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata, jawatankuasa berkenaan penting dalam usaha mencari resolusi menyelesaikan beban tugas guru yang bagai tiada kesudahan agar sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
Beliau berkata, cadangan mewujudkan jawatankuasa berkenaan telah lama dikemukakan kepada beberapa menteri pendidikan sebelum ini namun tiada tindakan dilakukan.
Cadangan mewujudkan jawatankuasa khas mengkaji beban tugas guru ini akan kita bawa kepada Menteri Pendidikan baharu Fadhlina Sidek dalam perjumpaan yang akan NUTP adakan bersama beliau dalam masa terdekat.
“Sekarang ini guru-guru banyak dibebani dengan tugasan yang tidak relevan seperti kerja-kerja perkeranian sekaligus menyebabkan masa guru antara murid kurang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara NUTP dan Tech Insure Sdn Bhd (A Tech) di sini pada Khamis.
Beliau berkata, isu lain akan dikemukakan pada perjumpaan itu termasuk pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) pada tahun hadapan yang dilihat menambah beban baharu kepada guru antaranya pemeriksaan kertas ujian, cetakan soalan dan kemasukan markah secara dalam talian.
Katanya, beban kerja tersebut jika tidak ditangani secara berhati-hati dibimbangi akan membangkitkan gelombang kemarahan golongan guru terhadap Kementerian Pendidikan seterusnya menjadi punca ramai guru memilih untuk bersara awal.
Aminuddin berkata, selain itu, NUTP berharap Fadhlina dapat meneruskan dasar atau inisiatif baik yang telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini agar guru dan murid tidak terbeban dengan perubahan dasar setiap kali berlaku pertukaran kerajaan atau menteri.
Sumber: Bernama
