Connect with us

Terkini

UEC tidak relevan untuk pupuk perpaduan

“Pada hemat saya, bukan sahaja pengiktirafan UEC itu tidak bertaraf “bukan keutamaan” malah tidak relevan sama sekali dengan tujuan memupuk perpaduan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan ciri-ciri kenegaraan. UEC berada di luar kerangka ciri kenegaraan,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Wartawan TMT

Published

on

UEC tidak relevan untuk pupuk perpaduan
Foto: Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
  • “Kewujudan sekolah yang enggan tertakluk kepada kurikulum kebangsaan itu sendiri menimbulkan kesangsian bagaimana sekolah yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan patut diberi layanan dengan mengiktiraf sijil yang dikeluarkannya.” – Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan
  • “Pada hemat saya, sijil persendirian biarlah berada dalam taraf persendiriannya, apatah lagi sijil itu mewakili hanya sejumlah rakyat, bahkan juga hanya mewakili sejumlah rakyat berketurunan Cina.”
  • “Bahkan ada dalam kalangan orang Cina sendiri mengatakan, mereka lebih “setia kepada negara” dan tidak menyetujui pengiktirafan UEC serta menganggap UEC merampas hak mereka yang menghantar anak ke sekolah kebangsaan.”

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2022 – “Pada hemat saya, bukan sahaja pengiktirafan UEC itu tidak bertaraf “bukan keutamaan” malah tidak relevan sama sekali dengan tujuan memupuk perpaduan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan ciri-ciri kenegaraan. UEC berada di luar kerangka ciri kenegaraan,” ujar Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Beliau menegaskan, perhatian penting perlu diberikan kepada falsafah dan matlamat sistem pendidikan negara yang dirancang dan dilaksanakan untuk memenuhi asas kenegaraan, terutama perpaduan kebangsaan dan peningkatan pancang kenegaraan yang menjadi asas jati diri warganegara Malaysia, termasuklah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

“Kewujudan sekolah yang enggan tertakluk kepada kurikulum kebangsaan itu sendiri menimbulkan kesangsian bagaimana sekolah yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan patut diberi layanan dengan mengiktiraf sijil yang dikeluarkannya.”

Walaupun menurut Dong Zong kurikulum asal yang berorientasikan latar di Taiwan telah “diMalaysiakan” namun, mata pelajaran Bahasa Melayu tidak disyaratkan sebagai lulus. Demikian juga, ketiadaan mata pelajaran Sejarah yang berkaitan dengan penghayatan sejarah tanah air Malaysia.

Jadi, perkara ini menimbulkan persoalan apakah yang telah “diMalaysiakan”? Bahkan kurikulum yang menjadi kompas sekolah persendirian Cina itu masih menjadi misteri dan sukar diperoleh maklumat rasminya.

“Pada hemat saya, sijil persendirian biarlah berada dalam taraf persendiriannya, apatah lagi sijil itu mewakili hanya sejumlah rakyat, bahkan juga hanya mewakili sejumlah rakyat berketurunan Cina. Anggaran yang pernah dibuat adalah bahawa UEC hanya melibatkan kira-kira 15 peratus pelajar di negara ini,” tegas Profesor Awang Sariyan.

Ujarnya lagi, mengiktiraf UEC akan mengundang pelbagai sijil lain yang dituntut untuk diktiraf, sehingga akhirnya negara kini kebanjiran pelbagai jenis sijil dan menggerhanakan sijil yang bersifat kebangsaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).”

“Bahkan ada dalam kalangan orang Cina sendiri mengatakan, mereka lebih “setia kepada negara” dan tidak menyetujui pengiktirafan UEC serta menganggap UEC merampas hak mereka yang menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

Kata beliau lagi, apa-apa pun keputusan pemerintah, asas terpenting yang mesti difikirkan adalah bahawa negara terbina dan terlestari dengan adanya pancang-pancang kenegaraan yang antaranya dilaksanakan melalui sistem pendidikan.

Sumber: Samudera

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending