Terkini
SKMM komited tangani kandungan provokatif, perkauman
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited mempercepatkan kajian ke atas kerangka pengurusan kandungan dalam talian bagi menangani kandungan berbaur provokatif yang menyebarkan isu perkauman dan mewujudkan perpecahan masyarakat di negara ini.
- SKMM komited percepatkan kajian pengurusan kandungan dalam talian bagi menangani kandungan berbaur provokatif sebar isu perkauman dan mewujudkan perpecahan masyarakat di negara ini.
- Kajian itu perlu dilakukan segera selepas berlaku peningkatan penyebaran kandungan bersifat mengancam dan provokatif semakin berleluasa dalam talian.
- “Semua langkah berkenaan bertujuan menghindari orang ramai daripada bersifat melampau dan menyebarkan pandangan berbaur provokatif ketika berada dalam talian,” kata Pengerusi Interim SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited mempercepatkan kajian ke atas kerangka pengurusan kandungan dalam talian bagi menangani kandungan berbaur provokatif yang menyebarkan isu perkauman dan mewujudkan perpecahan masyarakat di negara ini.
Pengerusi Interim SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, berkata kajian itu perlu dilakukan segera selepas berlaku peningkatan aktiviti memuat naik kandungan bersifat mengancam dan provokatif yang semakin berleluasa dalam talian pada masa ini.
“Sudah tiba masanya kerangka kawal selia semasa dikaji semula, mengambil kira keadaan semasa di alam siber yang dilihat di luar kawalan yang memungkinkan penyebaran kandungan mengancam keselamatan dan keharmonian negara, pandangan ekstremisme serta palsu.
“Kajian ini merangkumi kerangka kawal selia dalam aspek pelesenan, kesesuaian hukuman atau penalti semasa serta keperluan untuk memperkenalkan undang-undang baharu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, negara serantau seperti Indonesia, Singapura dan Australia juga sudah memperkenalkan undang-undang secara langsung dalam mengawal selia platform penyedia perkhidmatan media sosial supaya mereka lebih bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan dalam menguruskan kandungan yang mengancam.
“Semua langkah berkenaan bertujuan menghindari orang ramai daripada bersifat melampau dan menyebarkan pandangan berbaur provokatif ketika berada dalam talian.
“Malaysia amat bertuah kerana mempunyai kepelbagaian aspek etnik, budaya, kepercayaan mahupun bahasa. Jadi, SKMM menggesa semua pihak menghormati dan menerima kepelbagaian, keterangkuman, perasaan hormat kepada kaum, agama dan institusi raja.
“Kita boleh mencapai matlamat ini dengan mengamalkan prinsip Rukun Negara yang bertujuan mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.
Sumber: Berita Harian