Antarabangsa
Raja Jordan kutuk pencabulan tapak suci umat Islam, Kristian di Palestin
Raja Jordan, Raja Abdullah II mengutuk keras pencabulan terhadap penganut di Baitulmuqaddis dan tapak suci agama lain di negara Palestin.

- Raja Jordan, Raja Abdullah ll berkata menjaga dan melindungi tapak suci umat Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis adalah tugas keagamaan dan sejarah.
- Baginda tekankan kerjasama berterusan antara Palestin dan Jordan dalam menangani pencabulan tapak suci Islam dan Kristian untuk membawa kebimbangan rakyat Baitulmuqaddis kepada perhatian masyarakat seantero dunia.
- Raja Abdullah menerima pujian daripada orang pemimpin agama termasuk Ketua Majlis Gereja Baitulmuqaddis, Theophilos III atas usahanya mempromosikan keamanan dan menyokong kewujudan Kristian di tanah suci berkenaan.
AMMAN, 17 Disember 2022 – Raja Jordan, Raja Abdullah II mengutuk keras pencabulan terhadap penganut di Baitulmuqaddis dan tapak suci agama lain di negara Palestin.
Menerusi laporan berita Timur Tengah, Raja Abdullah berkata, menjaga dan melindungi tapak suci umat Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis adalah tugas keagamaan dan sejarah.
Baginda juga menekankan kerjasama berterusan antara Palestin dan Jordan dalam menangani pencabulan tapak suci Islam dan Kristian sekali gus menegaskan kesungguhan Jordan untuk membawa kebimbangan rakyat Baitulmuqaddis kepada perhatian masyarakat seantero dunia.
Lantaran memainkan peranan dalam mempromosikan keharmonian, Raja Abdullah telah menerima pujian daripada beberapa orang pemimpin agama.
Mustafa Abu Sway, ahli Majlis Awqaf Jerusalem memberi penghormatan terhadap usaha Raja Abdullah untuk menjaga tapak suci di Baitulmuqaddis dan meningkatkan kewujudan bersama. Tambahnya, umat Islam juga berbangga dengan sokongan penganut Kristian yang bersama-sama melindungi Masjidil Aqsa setiap kali diancam.
Sementara itu, Ketua Majlis Gereja Baitulmuqaddis, Theophilos III turut mengucapkan terima kasih kepada raja itu atas usahanya mempromosikan keamanan dan menyokong kewujudan Kristian di tanah suci berkenaan.
Seorang ketua gereja Latin di Jerusalem turut memuji Raja Abdullah atas usahanya mengekalkan keselamatan, mewujudkan peluang kepada belia dan menggerakkan inisiatif politik, sosial dan ekonomi.
Sumber : Samudera
