Connect with us

Terkini

Kerajaan terus digesa pinda hak kerakyatan anak lahir luar negara

Wanita MCA menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dan pasangan rakyat asing mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Wartawan TMT

Published

on

Kerajaan terus digesa pinda hak kerakyatan anak lahir luar negara
Foto: Datuk Heng Seai Kie.
  • Wanita MCA gesa kerajaan pinda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dan pasangan rakyat asing mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.
  • “Pindaan Perlembagaan ini bagi bolehkan hak sama rata untuk wanita dan lelaki warga Malaysia yang hanya dapat diluluskan dengan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat,” 

KUALA LUMPUR: Wanita MCA menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dan pasangan rakyat asing mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Ketuanya, Datuk Heng Seai Kie, berkata sokongan bipartisan juga diperlukan untuk mempercepatkan proses berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan sebulat suara oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan untuk memberikan kebenaran kepada enam ibu warga Malaysia dan kumpulan hak asasi Family Frontiers meneruskan rayuan untuk memperoleh kerakyatan bagi anak kelahiran luar negara dengan pasangan rakyat asing.

“Mahkamah Tinggi dijangka menyampaikan keputusan ke atas rayuan itu untuk membatalkan diskriminasi jantina seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang untuk mengelakkan keraguan dan pelarasan perlu dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikannya.

“Wanita MCA juga menggesa semua Ahli Parlimen tidak kira kerajaan yang memerintah atau gabungan pembangkang untuk memberikan sokongan bipartisan untuk kerakyatan secara automatik bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dengan lelaki asing.

“Pindaan Perlembagaan ini bagi membolehkan hak sama rata untuk wanita dan lelaki warga Malaysia yang hanya dapat diluluskan dengan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dan pasangan rakyat asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Perkara itu diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 September 2021

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan ‘bapa’ dalam Jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.

Beliau membuat keputusan itu ketika membenarkan saman pemula, yang difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing secara automatik layak memperoleh kewarganegaraan walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Saman itu difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia pada 18 Disember 2020.

Sementara itu, Seai Kie berkata, pihaknya juga mengalu-alukan perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung pindaan perlembagaan berkenaan.

“Dalam menyatakan rasa simpati, kedua-duanya menyatakan mereka senada berhubung perkara ini.

“Pemberian kerakyatan secara automatik kepada bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia dan pasangan rakyat asing ini adalah satu daripada ikrar yang disenaraikan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“BN sebagai anggota Kerajaan Perpaduan mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan janjinya, termasuk juga Pakatan Harapan (PH) yang turut menyatakan pendirian sama.

“Oleh itu, Wanita MCA tidak menjangkakan sebarang halangan untuk membentang dan meluluskan sebarang cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara itu. Kerjasama antara parti dan gabungan untuk memacu kesaksamaan gender dan hak asasi manusia adalah selaras dengan nilai sejagat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending