Connect with us

Terkini

Anwar digesa kemukakan bukti, dakwa dana pilihan raya PN dari syarikat judi

Pemuda Pas Kedah menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang daripada syarikat perjudian sebagai tidak berasas dan prejudis.

Wartawan TMT

Published

on

Anwar digesa kemukakan bukti, dakwa dana pilihan raya PN dari syarikat judi
Foto: Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (tengah), Nurul Amin Hamid (kanan).
  • Perdana Menteri tidak sepatutnya menggunakan pentas rasmi kerajaan di Pejabat Perdana Menteri untuk mencipta naratif politik kepartian.
  • “Buat pertama kali tengok seorang Perdana Menteri ‘main politik’ tabur sentimen dengan langsung tak tonjolkan bukti dan guna pentas rasmi kerajaan di Pejabat Perdana Menteri yang seharusnya jadi medan bicara isu rakyat tapi dia main naratif politik kepartian.” – Ketua Penerangan Armada
  • Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid sifatkan kenyataan Anwar tidak berasas dan prejudis.
  • Tuduhan itu menambahkan ketidakstabilan politik tanah air di saat rakyat tertunggu-tunggu pengumuman berhubung agenda pembangunan bagi memperkasakan ekonomi negara.
  • “Ternyata Anwar hanya pemimpin retorik, bukan sang reformis seperti dipentaskan suatu ketika dahulu,” – Pemuda Pas Kedah

SHAH ALAM – Pemuda Pas Kedah menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang daripada syarikat perjudian sebagai tidak berasas dan prejudis.

Ketuanya, Nurul Amin Hamid berkata, tuduhan berat seumpama itu tidak wajar keluar daripada pemimpin nombor satu negara kerana bersifat serangan terhadap PN.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, tuduhan itu sebenarnya menambahkan lagi ketidakstabilan politik tanah air di saat rakyat tertunggu-tunggu pengumuman berhubung agenda pembangunan bagi memperkasakan ekonomi negara.

“Seharusnya, di awal pentadbiran beliau yang tidak sampai dua minggu ini, perlu fokus agenda memperkasakan ekonomi rakyat.

“Sebagai contoh rakyat masih menunggu pengumuman harga minyak turun, kadar bayaran tol dimansuhkan, pendidikan percuma atau apa saja pengumuman yang pernah menjadi retorik semasa beliau galak berkempen suatu ketika dulu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Nurul Amin yang juga Ketua Pemuda PN Kedah berkata demikian mengulas laporan media pada Isnin bahawa Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya untuk parti Melayu dan parti Islam datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Kata Anwar, Kementerian Kewangan juga mendapati ‘pelanggaran’ dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender yang dikatakan berlaku semasa era kerajaan PN.

Jelas Nurul Amin, Anwar dilihat muflis idea bernas untuk menggembirakan rakyat dengan agenda pembangunan dan kemajuan selain daripada memberi tohmahan palsu kepada pihak pembangkang.

“Ternyata Anwar hanya pemimpin retorik, bukan sang reformis seperti dipentaskan suatu ketika dahulu,” ujar beliau lagi.

Pada masa sama, Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir turut menggesa Anwar agar mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu.

Ujar beliau, Perdana Menteri tidak sepatutnya menggunakan pentas rasmi kerajaan di Pejabat Perdana Menteri untuk mencipta naratif politik kepartian.

“Buat pertama kali tengok seorang Perdana Menteri ‘main politik’ tabur sentimen dengan langsung tak tonjolkan bukti dan guna pentas rasmi kerajaan di Pejabat Perdana Menteri yang seharusnya jadi medan bicara isu rakyat tapi dia main naratif politik kepartian.

“Lainlah perkaitannya andai merupakan cadangan dasar pendanaan parti politik. Tidak pernah lihat sidang media mana-mana Perdana Menteri sebelum ini ambil pendekatan sedemikian.

“Mohon Perdana Menteri ke-10 yang juga Menteri Kewangan keluarkan bukti apa yang diperkatakan beliau,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Isnin.

Dalam sidang media pada Isnin, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) membayangkan sebahagian sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Anwar juga mengarahkan cabutan khas perjudian diturunkan daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari tahun hadapan.

Mengulas perkara itu, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, beliau secara peribadi menyokong langkah itu dan menggesa kerajaan mencontohi negeri-negeri di bawah pentadbiran PN yang telah menghentikan operasi pusat perjudian.

“Syabas atas inisiatif menurunkan cabutan judi ini, namun para penyokong PH jangan menangguk di air keruh dengan perbuatan jelek sebuah kerajaan yang tanpa hitam putih membuat pertuduhan hanya semata sentimen politik,” katanya.

Sumber : Sinar Harian 

 

 

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending