Connect with us

Terkini

Menteri pendidikan baharu perlu berani ‘tidak popular’ baiki sistem pendidikan

Kerajaan baharu mesti melantik menteri pendidikan yang berani memperkenalkan dasar progresif bagi memperbaiki sistem pendidikan, sekalipun cadangannya “tidak popular”, kata sebuah kumpulan ibu bapa.

Wartawan TMT

Published

on

Menteri pendidikan baharu perlu berani 'tidak popular' baiki sistem pendidikan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan baharu lantik menteri pendidikan berani perkenal dasar progresif bagi baiki sistem pendidikan, sekalipun “tidak popular”, kata sebuah kumpulan ibu bapa.
  • Dasar bukan populis diperkenalkan menteri pendidikan juga untuk wajibkan pelajar peroleh “C” (kredit) dalam bahasa Inggeris bagi peperiksaan SPM.
  • Pengerusi Magpie Mak Chee Kin berkata menteri berkenaan perlu berusaha cetuskan minat mendalam terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.
  • Pihaknya juga sokong politik diasingkan daripada pendidikan, selain pembangunan pendidikan dilakukan dengan mampan.

PETALING JAYA: Kerajaan baharu mesti melantik menteri pendidikan yang berani memperkenalkan dasar progresif bagi memperbaiki sistem pendidikan, sekalipun cadangannya “tidak popular”, kata sebuah kumpulan ibu bapa.

Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) berkata, satu dasar bukan populis yang boleh diperkenalkan menteri pendidikan baharu adalah untuk mewajibkan pelajar memperoleh “C” (kredit) dalam bahasa Inggeris bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Magpie Mak Chee Kin berkata menteri berkenaan juga perlu berusaha mencetuskan minat lebih mendalam terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam kalangan pelajar, kerana isu itu telah lama dibangkitkan namun tidak diselesaikan mana-mana ahli politik.

Mak memberitahu FMT, menteri pendidikan yang bakal dilantik mesti “ikhlas” mahu membaiki sistem pendidikan.

Katanya, kumpulannya telah lama menyokong supaya politik diasingkan daripada pendidikan, selain pembangunan pendidikan dilakukan dengan mampan.

“Apa yang berlaku kini adalah menteri berubah apabila kerajaan berubah. Jadi apa saja dasar diperkenalkan seseorang menteri mungkin tidak berkekalan.

“Lebih teruk lagi apabila ada dasar baik mungkin tidak diteruskan menteri baharu, semata-mata kerana menteri itu mahu popular,” katanya.

Beliau memetik sebagai contoh, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad pada 2002 tetapi dimansuhkan kerajaan lain pada 2011.

Bertujuan membaiki pemahaman Sains dan Matematik pelajar, dua mata pelajaran itu diajar dalam bahasa Inggeris kerana kebanyakan bahan kajian dan penyelidikan saintifik menggunakan bahasa itu.

Mak berkata, segelintir sekolah terpilih seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) masih menggunakan PPSMI, menyebabkannya menyoal kenapa ia dimansuhkan di tempat lain.

“Jika tidak bagus, kenapa ia masih ditawarkan di MRSM?” soal beliau, dengan mendakwa keputusan memansuhkan PPSMI di kebanyakan sekolah lebih bersifat politik dan bukannya mengambil kira kepentingan pelajar.

Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin yang merupakan menteri pendidikan dalam Jemaah Menteri sebelum ini selepas mengambil alih daripada Maszlee Malik susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Antara dasar yang dimansuhkan Radzi termasuk rancangan makanan percuma yang diperkenalkan Maszlee.

Anuar Ahmad, pensyarah di fakulti pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, menteri pendidikan baharu mesti memastikan pelajar Malaysia setaraf rakan sebaya di rantau ini.

Katanya, Malaysia berkemungkinan ketinggalan memandangkan Indonesia memperkenalkan sistem kurikulum fleksibel yang membolehkan pelajarnya memilih beberapa mata pelajaran.

Tambahnya, menteri baharu juga wajar mempertimbangkan untuk memberikan lebih autonomi kepada guru dalam merancang sesi pengajaran, tetapi pada masa sama “mesra pelajar” dan peka dengan isu dihadapi mereka, khususnya dari masyarakat miskin dan terpencil.

Sumber : Free Malaysia Today

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending