Connect with us

Terkini

55 orang daripada 222 Ahli Parlimen jadi Menteri, adalah wajar – Penganalisis politik

Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk membentuk Kabinet sekecil 15 peratus daripada jumlah keseluruhan Ahli Parlimennya, seperti mana dibuat di United Kingdom dan India.

Wartawan TMT

Published

on

55 orang daripada 222 Ahli Parlimen jadi Menteri, adalah wajar - Penganalisis politik
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Malaysia masih belum bersedia bentuk Kabinet sekecil 15 peratus dari jumlah keseluruhan Ahli Parlimen, seperti  di United Kingdom dan India.
  • Sebagai permulaan langkah reformasi, penganalisis politik Prof. Wong Chin Huat berpendapat 25 peratus atau 55 orang dari 222 Ahli Parlimen dilantik jadi Menteri adalah saiz yang wajar.
  • Ahli Parlimen selebihnya, boleh memainkan peranan penyemak imbang supaya kerajaan sentiasa dalam keadaan sedar untuk berfungsi dengan lebih cekap.
  • “Kalau semua orang jadi Menteri, dia tidak boleh kritik kerajaan lagi. Jadi itu penting,” – Penganalisis politik

KUALA LUMPUR: Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk membentuk Kabinet sekecil 15 peratus daripada jumlah keseluruhan Ahli Parlimennya, seperti mana dibuat di United Kingdom dan India.

Namun sebagai permulaan kepada langkah reformasi, penganalisis politik Prof. Wong Chin Huat berpendapat 25 peratus atau 55 orang daripada 222 Ahli Parlimen dilantik menjadi Menteri adalah saiz yang wajar.

Ahli Parlimen selebihnya, kata beliau, boleh memainkan peranan sebagai penyemak imbang supaya kerajaan sentiasa dalam keadaan sedar untuk berfungsi dengan lebih cekap.

“Kalau kita terapkan 15 peratus itu maksudnya kita cuma boleh ada 33 orang dalam seluruh anggota pentadbiran, saya rasa Malaysia belum bersedia tapi kita mesti ada satu had yang jelas.

“Kalau semua orang jadi Menteri, dia tidak boleh kritik kerajaan lagi. Jadi itu penting,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Katanya, melihat pengalaman UK, mereka ada 650 orang Ahli parlimen tetapi bilangan Menteri yang dibayar gaji oleh kerajaan tidak boleh lebih daripada 93 orang.

Begitu juga di India di mana perlembagaannya menyatakan secara jelas bahawa bilangan Ahli Parlimennya yang dilantik menjadi Menteri tidak boleh lebih daripada 15 peratus.

Chin Huat yakin, 55 orang Menteri daripada keseluruhan anggota Parlimen termasuk Senator Dewan Negara itu sudah cukup, melihat kepada saiz sama ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) pertama pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, empat tahun lalu.

“Bila bilangan menteri jadi kurang, penyelarasan itu jadi lebih baik.”

Sumber: Astro Awani

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending