Terkini
Tiada nama Nizar, Najib antara calon bertanding di Pekan
UMNO Bahagian Pekan kekal menamakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sebagai calon Pekan, kata timbalan ketua bahagian itu, Zamri Ramly.
- UMNO Bahagian Pekan kekal menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon Pekan.
- Nama bekas perdana menteri itu antara lima calon dikemukakan bahagian itu serta menolak ada menamakan dua anak Najib, Nizar dan Nooryana Najwa.
- Nizar dicalonkan di kerusi membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.
PETALING JAYA – UMNO Bahagian Pekan kekal menamakan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sebagai calon Pekan, kata timbalan ketua bahagian itu, Zamri Ramly.
Beliau berkata, nama bekas perdana menteri itu antara lima calon dikemukakan bahagian itu, selain menolak ada menamakan dua anak Najib, Nizar mahu pun Nooryana Najwa, bertanding di kerusi terbabit.
“Tidak ada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding.
“Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zamri bagaimanapun enggan mendedahkan empat nama selain Najib yang menawarkan diri bertanding di Pekan pada PRU15 ini.
Beliau berkata, Nizar dicalonkan namun di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.
Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM 210 juta yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Sumber: Free Malaysia Today