Connect with us

Terkini

“Silibus tidak boleh ditukar secara kerap, ini bukan silibus Radzi Jidin” – Menteri Pendidikan

Silibus pembelajaran yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kitaran dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Wartawan TMT

Published

on

“Silibus tidak boleh ditukar secara kerap, ini bukan silibus Radzi Jidin” - Menteri Pendidikan
Foto: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
  • Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), silibus pembelajaran tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun.
  • Ia kerana setiap silibus yang dihasilkan memerlukan proses kajian mendalam.
  • Sekiranya silibus itu ditukar secara kerap, guru dan murid akan menghadapi kesukaran bagi menyesuaikan diri.
  • KPM tidak pernah menutup ruang kepada guru untuk memberikan sebarang pandangan.

SHAH ALAM – Silibus pembelajaran yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kitaran dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, penghasilan sesuatu silibus juga memerlukan proses kajian mendalam yang melibatkan banyak pakar dan guru berpengalaman serta berkebolehan.

“Ini bukan silibus Radzi Jidin. Saya ingin jelaskan silibus yang digunakan hari ini bermula pada 2017 dan untuk bina silibus itu, telah ada perbincangan sebelum itu lagi.

“Jika silibus ditukar secara kerap, cikgu-cikgu serta murid-murid akan menghadapi kesukaran nak sesuaikan diri dengan silibus baharu. Jadi apa yang berlaku selama ini (silibus), apabila selesai satu pusingan maka penilaian akan dibuat untuk melihat keberkesanan silibus tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di sini pada Selasa.

Mohd Radzi berkata demikian mengulas soalan pemberita mengenai isu silibus Matematik yang dibangkitkan seorang guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh di media sosial yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak selaras dengan kemampuan murid untuk memahami dan menguasainya.

Beliau berkata, jika seseorang murid masuk Tahun Satu dengan silibus tersebut, mereka akan habiskan Tahun 6 dengan pendekatan silibus sama.

Menurut Mohd Radzi, KPM tidak pernah menutup ruang kepada guru untuk memberikan sebarang pandangan malah beliau sendiri turun padang bertemu guru bagi menyelesaikan sesuatu isu termasuk isu beg berat dalam kalangan murid.

“Banyak transformasi kita buat di kementerian (KPM) hasil berbincang dan dapat maklum balas daripada guru dan pihak yang terlibat. Untuk kata kita (KPM) tidak mendengar pandangan daripada guru, saya rasa itu tidak tepat,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan berlaku penyelewengan di kementeriannya, beliau berkata, pihaknya terbuka mengenainya dan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof telah mengambil tindakan seperti arahannya supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami terbuka, tidak ada apa yang saya nak khuatirkan sebab itu KSU telah mengambil tindakan seperti yang diarahkan sebab kita nak pastikan imej KPM baik. Mesej kita setiap sen duit rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat sangat mudah.

“Saya berada di sini, menjalankan khidmat negara. Saya tidak ada tujuan lain, ada tuduhan SPRM pergilah siasat apa yang ada di sana (KPM),” katanya. 

Sumber: Bernama

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending