Terkini
Rakyat Malaysia jadi mangsa sindiket di Myanmar, PBB digesa usah berdiam diri – Hishamuddin
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digesa bertindak dan menghantar notis bantahan kepada Myanmar yang didakwa bertoleransi dengan jenayah pemerdagangan manusia, termasuk melibatkan rakyat Malaysia.
- PBB digesa bertindak dan menghantar notis bantahan kepada Myanmar yang melakukan pemerdagangan manusia termasuk melibatkan rakyat Malaysia.
- Setiausaha Agung MHO mempersoalkan mengapa PBB membisu terhadap kekejaman di Myanmar.
- PBB boleh mengusulkan sekatan ekonomi terhadap Myanmar, sekiranya negara itu tidak bertindak menghalang aktiviti pemerdagangan manusia.
PUTRAJAYA – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digesa bertindak dan menghantar notis bantahan kepada Myanmar yang didakwa bertoleransi dengan jenayah pemerdagangan manusia, termasuk melibatkan rakyat Malaysia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim berkata, PBB yang sebelum ini agresif melibatkan diri dengan krisis di Iraq, Afghanistan serta negara teluk lain, mengapa membisu terhadap kekejaman di Myanmar.
“PBB perlu keluarkan nota bantahan kepada Myanmar kerana menjadi destinasi pemerdagangan manusia yang terulung di rantau ini.
“PBB juga boleh mengusulkan satu sekatan ekonomi terhadap Myanmar, sekiranya negara itu tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan bertoleransi dengan penjenayah,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil PBB, Richard Marshall di pejabat PBB di sini.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah Malaysia, Muhammad Ridzwan Sulaiman.
Katanya, seperti mana PBB terbabit dalam konflik di Iraq dan Afghanistan, pertubuhan dunia itu juga perlu melakukan perkara sama di Myanmar bagi menyelamatkan rakyat Malaysia dan warga asing lain yang terperangkap di negara itu.
“Kita minta PBB janganlah jadi seperti kerajaan Myanmar. Sikap PBB yang berdiam diri, tak mahu masuk campur kezaliman yang berlaku di Myanmar seolah-olah bersekongkol dengan kerajaan Myanmar.
“Selagi adanya hab pemerdagangan manusia di Myanmar yang seolah-olah dilindungi kerajaan negara itu, selagi itulah Asean berada dalam keadaan tidak selamat,” katanya.
Hishamuddin berkata, MHO tidak berminat dengan krisis dalaman Myanmar, namun akan bertegas dengan isu melibatkan kekejaman ke atas rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di sana.
“Rakyat kita dipukul, dikurung, dijual. Rakyat kita juga dimaklumkan dilacurkan, dibunuh tetapi kerajaan Myanmar sunyi dan sepi, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.”
MHO sebelum ini mendedahkan kira-kira 3,000 rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Laos, Kemboja dan Myanmar.
Kerajaan Laos dan Kemboja memberikan kerjasama baik dalam misi menyelamatkan mangsa, namun bukannya kerajaan Myanmar.
Usaha MHO dan Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menghantar memorandum bantahan tidak berhasil, justeru mereka terpaksa merujuk wakil PBB di negara ini.
Sumber: Free Malaysia Today