Connect with us

Terkini

‘PBD berkesan jika murid dalam bilik darjah, silibus dikurangkan’ – pensyarah

Pelaksanaan PBD ketika ini dianggap dilakukan bukan pada masa sesuai walaupun diakui sebagai langkah kehadapan mengevolusikan pendidikan namun negara masih belum bersedia.

Wartawan TMT

Published

on

‘PBD berkesan jika murid dalam bilik darjah, silibus dikurangkan’ - pensyarah
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Pelaksanaan PBD ketika ini dianggap dilakukan bukan pada masa sesuai walaupun diakui sebagai langkah kehadapan mengevolusikan pendidikan namun negara masih belum bersedia.
  • Kementerian Pendidikan wajar wujudkan sistem ujian pencapaian bagi menilai penguasaan pelajar terhadap 3M.
  • “PBD ini baik, tetapi kita belum bersedia dari segi kesediaan seperti jumlah pelajar di dalam kelas dan sebagainya. Buat sementara waktu, memang sepatutnya kita laksanakan ‘UPSR’ yang bukan bersifat peperiksaan tetapi lebih kepada ujian pencapaian.”
  • “PBD akan berkesan apabila bilangan murid di dalam bilik darjah dan silibus dapat dikurangkan, jadi cikgu ada banyak masa buat aktiviti untuk nilai sama ada murid-murid sudah menguasai pelajaran atau belum.” – Dr. Anuar Ahmad.

PETALING JAYA –  Sistem pendidikan negara masih memerlukan ujian penilaian khususnya di peringkat sekolah rendah untuk mengetahui tahap pencapaian murid dalam menguasai 3M iaitu menulis, membaca, mengira sebelum ke peringkat seterusnya.

Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ketika ini dianggap dilakukan bukan pada masa yang sesuai walaupun ia diakui sebagai langkah kehadapan dalam mengevolusikan pendidikan kerana negara masih belum bersedia untuk kaedah itu.

Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan wajar mewujudkan sebuah sistem ujian pencapaian bagi menilai penguasaan pelajar terhadap 3M.

Ini kerana katanya, sekiranya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikembalikan seperti dahulu, dikhuatiri ia akan memberi tekanan kepada murid-murid dan tidak sepatutnya berlaku di peringkat awal pendidikan.

“PBD ini baik, tetapi kita belum bersedia lagi dari segi kesediaan seperti jumlah pelajar di dalam kelas dan sebagainya. Buat sementara waktu, memang sepatutnya kita memang perlu laksanakan ‘UPSR’ yang bukan bersifat peperiksaan tetapi lebih kepada ujian pencapaian.

“Ujian itu membantu mengesan sama anak-anak kita sudah menguasai 3M atau belum. Pada masa sama, kita perlu merancang PBD ni juga supaya ia dapat dilaksanakan semula dengan baik dan secara berkesan.

“PBD akan berkesan apabila bilangan murid di dalam bilik darjah dan silibus dapat dikurangkan, jadi cikgu akan ada banyak masa untuk membuat aktiviti untuk menilai sama ada murid-murid sudah menguasai pelajaran atau belum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa ada wakil guru di seluruh negara meminta BN mengembalikan UPSR dalam manifesto PRU15.

Dakwa guru berkenaan, murid-murid seakan hilang arah tuju dengan pelaksanaan PBD manakala golongan pendidik merasa terbeban dan sekiranya UPSR dikembalikan maka murid dapat dinilai spesifik serta berkesan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Prof Dr. Omar Yaakob tidak bersetuju sekiranya UPSR dahulu dilaksanakan kembali kerana ia adalah langkah kebelakang.

Jelasnya, pelaksanaan PBD perlu diperkemaskan bagi memastikan ia memberi impak besar kepada sistem pendidikan negara secara positif.

“Isunya sekarang ialah tentang pelaksanaan. Masalah tu perlu kita tangani dan perbetulkan, KPM dan pihak terlibat perlu perkemaskan semula kaedah pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN

Sumber: Utusan 

 

 

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending