Connect with us

Terkini

Anak muda jemu dengan permainan persepsi politik Melayu – Penganalisis politik

Politik Melayu kini memerlukan momentum baharu dengan adanya idea segar sekiranya ingin menarik sokongan rakyat khususnya bagi golongan muda untuk memilih mereka dalam pilihan raya akan datang.

Wartawan TMT

Published

on

Anak muda jemu dengan permainan persepsi politik Melayu - Penganalisis politik
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Idea yang berkualiti diperlukan bagi menghasilkan momentum baharu dalam kalangan politik Melayu.
  • Ia susulan rakyat jemu dengan pelbagai persepsi diaju parti politik – Dr Mohamed Tawfik Yaakub
  • Politik Melayu dalam keadaan kritikal dan perlu dicegah dengan satu gerakan momentum baharu.

SHAH ALAM – Politik Melayu kini memerlukan momentum baharu dengan adanya idea segar sekiranya ingin menarik sokongan rakyat khususnya bagi golongan muda untuk memilih mereka dalam pilihan raya akan datang.

Penganalisis politik, Dr Mohamed Tawfik Yaakub berkata, ini kerana rakyat telah jemu dengan pelbagai persepsi yang ditimbulkan parti-parti politik ketika ini.

“Saya melihat politik Melayu kini berada dalam satu keadaan yang sungguh kritikal.

“Perlu ada satu gerakan momentum baharu bagi memastikan ia dapat dicernakan atau diterjemahkan dengan imej atau wajah baharu.

“Ini kerana masyarakat memerlukan idea yang segar daripada parti-parti politik kerana mereka sudah jemu dengan perkembangan politik negara yang berlaku ketika ini yang tidak boleh membawa kebahagiaan kepada mereka.

“Sebab itulah kita lihat anak-anak muda hari ini seolah-olah memandang sepi kepada politik negara dan ia dapat dilihat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Sinar Live membincangkan tajuk ‘Cukup kuatkah UMNO kali ini’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Khamis.

Program yang berlangsung kira-kira sejam itu turut menampilkan seorang lagi panelis, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, manakala Hazwan Mokhtar sebagai moderator.

Menyentuh mengenai kempen melalui laman sosial yang rancak dilakukan parti-parti politik ketika ini, Mohamed Tawfik berkata, secara asasnya ‘perang’ itu telah bermula sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, ketika ini parti-parti politik sudah beralih kepada kempen di media sosial dan siapa yang mampu mengawal persepsi rakyat, maka kempen yang dilaksanakan itu dilihat akan lebih memberi kesan.

“Kalau parti politik mampu mengawal persepsi, mereka mampu mempengaruhi tahap pemikiran dan sokongan rakyat ke arah mana untuk mereka memberikan undi nanti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

 

Author

Terkini

Kenyataan ekonomi terjejas akibat gerakan boikot tidak tepat — Pengerusi BDS Malaysia

Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia menyifatkan dakwaan mengatakan ekonomi akan terjejas berikutan gerakan boikot dijalankan ketika ini adalah tidak tepat.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail.
  • Pengerusi BDS Malaysia, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata kenyataan itu tidak tepat kerana mereka yang tidak membeli minuman dan makanan di kedai diboikot akan membuat perbelanjaan di kedai lain serta peluang pekerjaan juga akan bertambah di syarikat lain yang tidak terbabit secara langsung dengan Israel, atau ia mengutuk kezaliman Israel secara terbuka.
  • Mohd Nazari tidak menafikan dalam jangka pendek pekerja di syarikat diboikot akan terjejas susulan gerakan itu, namun ia hanya masalah bersifat sementara kerana dalam jangka panjang kelompok berkenaan boleh bekerja di syarikat pilihan baru pengguna yang akan berkembang.
  • Katanya, terdapat banyak restoran tempatan dimaklumkan kepada beliau sedang berkembang dan menjadi lebih maju, susulan boikot ke atas syarikat francais asing seperti McDonald’s dan Starbucks.
  • “Jika pengurusan syarikat terbabit ingin pastikan perniagaan mereka tidak diboikot dan nasib pekerja mereka tidak terjejas, senang sahaja… jangan ada apa-apa kaitan langsung dengan Israel,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
  • Beliau berkata demikian ketika mengulas ciapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di platform X pada Khamis yang menyatakan pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR — Pengerusi Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia menyifatkan dakwaan mengatakan ekonomi akan terjejas berikutan gerakan boikot dijalankan ketika ini adalah tidak tepat.

Pengerusinya, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail berkata ia tidak tepat kerana mereka yang tidak membeli minuman dan makanan di kedai diboikot akan membuat perbelanjaan di kedai lain.

Selain itu, peluang pekerjaan juga akan bertambah di syarikat lain yang tidak terbabit secara langsung dengan Israel, atau ia mengutuk kezaliman Israel secara terbuka.

“Bukan susah untuk kutuk kezaliman Israel. Saya pun hairan kenapa ada syarikat yang masih enggan lakukan benda yang baik ini.

“Jika mereka kutuk kezaliman Israel secara jelas dan terbuka, saya yakin pengguna akan pergi balik ke kedai mereka,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ciapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di platform X pada Khamis yang menyatakan pekerja tempatan sedang menanggung sengsara akibat boikot dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP turut memuat naik tangkap layar artikel berita Cina bertajuk, ‘Gelombang boikot menyebabkan pekerja KFC dipotong gaji, pendapatan bulanan pasangan RM600 untuk menyara 3 anak’.

Foto: Tangkap layar ciapan Nga Kor Ming.

Mengulas lanjut, Mohd Nazari tidak menafikan dalam jangka pendek pekerja di syarikat diboikot akan terjejas susulan gerakan itu, namun ia hanya masalah bersifat sementara kerana dalam jangka panjang kelompok berkenaan boleh bekerja di syarikat pilihan baru pengguna yang akan berkembang.

Malah, katanya terdapat banyak restoran tempatan dimaklumkan kepada beliau sedang berkembang dan menjadi lebih maju, susulan boikot ke atas syarikat francais asing seperti McDonald’s dan Starbucks.

“Jika pengurusan syarikat terbabit ingin pastikan perniagaan mereka tidak diboikot dan nasib pekerja mereka tidak terjejas, senang sahaja… jangan ada apa-apa kaitan langsung dengan Israel. 

“Keluar dari Israel. Atau keluarkan kenyataan mengutuk kezaliman Israel di Gaza,” kata pengerusi BDS Malaysia. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending