Connect with us

Terkini

Wadah Aspirasi, Menteri masih selesa ‘berkubang’ dalam pengurusan pendidikan – pensyarah

“Wadah Aspirasi YB Menteri Kanan pagi ini lebih untuk hanya berkongsi pencapaian lepas. Malangnya tidak ada sentuhan idea untuk bahagian yang kedua tentang apakah wawasan, aspirasi dan hala tuju yang kukuh untuk sistem pendidikan negara kita selepas ini?”

Wartawan TMT

Published

on

Wadah Aspirasi, Menteri masih selesa ‘berkubang’ dalam pengurusan pendidikan - pensyarah
Foto: Dr. Anuar Ahmad.
  • Terdapat beberapa isu besar terkait pendidikan yang tidak disentuh oleh Datuk Dr Radzi Jidin di Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan, pada pagi tadi. 
  • Dr. Anuar Ahmad dakwa beberapa tindakan KPM dilihat kurang sesuai dan menimbulkan lebih banyak isu berbanding penyelesaian. 
  • Pemansuhan UPSR dan PT3 disifatkan sebagai tergesa-gesa hingga menimbulkan banyak kekeliruan pada guru dan masyarakat khususnya ibu bapa. 
  • Ramai guru masih keliru dan gagal menterjemahkan hubungan antara pembelajaran dan pentaksiran dalam konteks ‘as’,’for’ dan ‘of’. 
  • Para guru dibebankan dengan tugasan bukan melibatkan pengajaran sehingga mengganggu fokus pengajaran mereka setiap hari. 
  • Isu beg sekolah berat disifatkan belum lagi selesai ekoran penyediaan loker dan penjadualan semula jadual waktu, bukan satu penyelesaian jangka panjang. 
  • Isu sekolah daif dan sekolah kurang murid (SKM) juga masih belum selesai malah bilangannya semakin bertambah saban tahun. 
  • Ini satu isyarat jelas pemimpin pendidikan negara ini masih lagi selesa bergelumang dalam ‘kubang’ pengurusan pendidikan dan belum bersedia untuk berada di atas pentas ‘kepimpinan pendidikan’.

KUALA LUMPUR – “Wadah Aspirasi YB Menteri Kanan pagi ini lebih untuk hanya berkongsi pencapaian lepas. Malangnya tidak ada sentuhan idea untuk bahagian yang kedua tentang apakah wawasan, aspirasi dan hala tuju yang kukuh untuk sistem pendidikan negara kita selepas ini?”

Itu antara reaksi daripada Pensyarah Pusat Kajian Kesejahteraan dan Pendidikan Komuniti Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad selepas beliau menonton sepenuhnya program Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan yang disiarkan secara live di media sosial pada pagi tadi.

Beliau mendakwa terdapat beberapa tindakan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilihat kurang sesuai dan menimbulkan lebih banyak isu berbanding penyelesaian. 

Dakwaan tersebut dapat dinilai menerusi pemansuhan UPSR dan PT3 yang disifatkan sebagai tergesa-gesa sedangkan ia sepatutnya difasakan hingga akhirnya telah menimbulkan banyak kekeliruan pada guru dan masyarakat khususnya ibu bapa. 

Tambahnya, pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk tujuan peperiksaan dengan PdP untuk pentaksiran berterusan memerlukan pendekatan yang berbeza. 

“Ramai guru yang masih keliru dan gagal menterjemahkan hubungan antara pembelajaran dan pentaksiran dalam konteks ‘as’,’for’ dan ‘of’. 

Akhirnya keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 yang tergesa-gesa dilihat banyak mengganggu fokus pembelajaran murid-murid dan ibu bapa hilang kawalan dalam meningkatkan motivasi pembelajaran anak-anak mereka. 

Guru-guru juga belum bersedia untuk PBD sepenuhnya dengan bilangan murid yang terlalu ramai dalam kelas, sukatan pelajaran yang banyak dan padat serta tiada autonomi dalam melakukan pentaksiran. 

Pemansuhan UPSR dan PT3 secara tergesa-gesa dan pelaksanaan PBD yang kurang mantap telah menjadi isu besar kepada sistem pendidikan negara kita,” kata beliau pada Jumaat menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, beliau berkata para guru turut dibebankan dengan tugasan bukan melibatkan pengajaran sehingga ia mengganggu fokus pengajaran mereka setiap hari. 

Menurutnya, sekalipun para guru telah menyuarakan isu terbabit namun tiada usaha untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Sebelum ini, mereka dimaklumkan terdapat satu tinjauan secara dalam talian telah dilakukan namun tiada perkembangan lain mahupun penjelasan selepas itu.

Permasalah ketiga yang dibangkitkan oleh beliau adalah berkenaan isu beg sekolah berat yang disifatkan belum lagi selesai ekoran penyediaan loker dan penjadualan semula jadual waktu dilihat sebagai bukan satu penyelesaian jangka panjang. 

Katanya, “Isu sebenar beg sekolah berat ialah bilangan mata pelajaran yang banyak dan kandungan yang terlalu padat untuk murid-murid tahap satu sekolah rendah.”

Sementara itu, beliau turut mengetengahkan isu sekolah daif dan sekolah kurang murid (SKM) yang juga masih belum selesai malah bilangannya semakin bertambah saban tahun. 

Justeru, beliau berkata perlu ada tindakan khusus untuk isu sekolah daif dan sekolah kurang murid. Setakat ini, beliau melihat usaha awal dengan menubuhkan jawatankuasa sekolah kurang murid telah dilakukan namun ia bukanlah langkah yang baharu sebaliknya sejak dahulu lagi usaha tersebut telah dijalankan. 

Dalam pada masa, Dr Anuar berkata terdapat juga beberapa isu besar terkait pendidikan yang tidak disentuh oleh Datuk Dr Radzi Jidin pada pagi tadi. 

Katanya, antara perkara yang tidak dibangkitkan adalah isu keciciran pembelajaran murid berikutan sehingga kini tiada data dibentangkan berkenaannya, begitu juga dengan isu kemerosotan penguasaan murid-murid dalam membaca, menulis dan mengira (3M). 

Malah katanya, “Isu utama iaitu melakukan desentralisasi pendidikan juga langsung tidak disentuh sedangkan di peringkat global, amalan desentralisasi dengan memberikan kepercayaan kepada sekolah dan guru-guru telah terbukti berjaya meningkatkan keupayaan sistem pendidikan.

Tiada pemikiran besar tentang dasar keadilan pendidikan, transformasi pendidikan dalam era 4iR, dasar kurikulum pendidikan untuk keperluan industri atau wawasan memperkasa kemenjadian murid yang lebih segar pasca pandemik. 

Saya tertunggu-tunggu juga sentuhan sedemikian dalam wadah aspirasi kali ini. Sayangnya tiada.”

Justeru beliau berpandangan, situasi ini adalah satu isyarat jelas bahawa pemimpin pendidikan negara ini masih lagi selesa bergelumang dalam ‘kubang’ pengurusan pendidikan dan belum bersedia untuk berada di atas pentas ‘kepimpinan pendidikan’.

Bagaimanapun, beliau juga tidak menafikan terdapat beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh KPM iaitu antara yang paling ketara ialah penambahan perjawatan untuk 18,702 guru baru. Sehingga kini, KPM telah berjaya mengisi lebih 16 ribu perjawatan tersebut. 

Menerusi penambahan bilangan guru tersebut ia mampu meningkatkan kualiti dan keupayaan jentera sistem pendidikan.  

Di samping itu, katanya pencapaian kedua KPM yang boleh dibanggakan ialah penambahbaikan sistem dan prosedur pertukaran guru. Dari dua kali kepada empat kali setahun. Guru juga boleh memohon pertukaran pada bila-bila masa. 

Sumber : Facebook Anuar Ahmad

Author

Kolumnis

Berhikmahkah baca ayat al-Quran di hadapan tempat ibadat agama lain?

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Tangkap layar video yang tular menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Beberapa hari lepas tular satu video menunjukkan seorang pelancong asing yang juga pempengaruh membaca petikan ayat al-Quran di sebuah kuil Hindu. 

Dalam video berkenaan, lelaki itu membaca ayat khusus yang berkaitan teguran Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang menyembah berhala dalam Surah al-Anbiyaa’ 21:66-67

Nabi Ibrahim AS berkata: ‘Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?’” 

Tidak dinafikan apa yang dimaksudkan ayat ini adalah benar dan merupakan fakta dalam ajaran Islam. 

Malah, tiada masalah sekalipun jikalau seseorang Muslim ingin membaca al-Qur’an kerana sememangnya ia perkara yang digalakkan dan diimani setiap Muslim.  

Penulis percaya barangkali niat pempengaruh itu adalah untuk menyampaikan mesej Tawhid dengan membaca petikan ayat al-Qur’an yang khusus menceritakan tentang sindiran Nabi Ibrahim AS kepada pengamal berhala. 

Meskipun niat tersebut mungkin baik, tindakan membaca al-Qur’an di rumah ibadat agama lain adalah tidak sesuai apatah lagi di hadapan patung berhala yang dianggap Tuhan oleh penganut agama terbabit. 

Lebih-lebih lagi, jika tindakan ini bertujuan untuk, konten dan meraih views di media sosial, ia menambahkan lagi ketidak sensitiviti terhadap keagamaan. Tanpa mengetahui realiti setempat, jelas ini bukan dakwah, ini adalah tindakan provokasi yang tidak sepatutnya berlaku.  

Berdakwah biarlah berhikmah 

Setiap daripada kita pasti memiliki pendekatan berdakwah yang pelbagai dalam usaha menarik golongan yang diseru kepada Islam.  

Namun, setiap pendekatan itu juga perlu digariskan mengikut saranan Allah yang menyuruh umat Islam supaya berdakwah secara berhikmah atau bijaksana. 

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl 16:125).

Hikmah dalam konteks ayat ini adalah meletakkan setiap sesuatu pada tempatnya dengan panduan akal. 

Sebagaimana  yang dinyatakan Ibnu Hajar dalam Fathul Bari (7/205), “Makna yang paling benar dari Al-Hikmah adalah bahwa Al-Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.” 

Sa’id Hawwa pula mengatakan, al-hikmah itu ialah maqalah (pendapat atau perkataan) yang sahih dan jitu, iaitu dalil yang menerangkan kebenaran yang menghilangkan syubhat (kesamaran), atau khitab (ucapan, perkataan atau perbicaraan) yang munasabah kepada setiap golongan manusia berdasarkan kedudukan mereka.

Sebagai contoh, sesuaikah sekiranya kita berdakwah kepada orang bukan Muslim yang asing dan baru pertama kali berjumpa dengan membaca petikan ayat al-Qur’an seperti: 

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah An-Nisa’ 4:56)  

Sememangnya petikan ayat al-Qur’an ini adalah dalil yang sahih. Namun mari kita fikirkan secara logik, adakah bukan Muslim terbabit akan semakin mendekati Islam atau sebaliknya, menjauhi Islam? 

Dan bolehkah pendekatan dakwah sebegini kita katakan sebagai dakwah secara bijaksana yang meletakkannya di tempat yang sepatutnya? 

Sedangkan, kita perlu menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan audiens mengikut konteks sosial dan realiti setempat. Bukan main terjah berdakwah tanpa mengambil tahu latar belakang kepercayaan setempat. 

Dalam usaha berdakwah, amat penting untuk kita sentiasa mempertimbangkan sensitiviti agama lain dan menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka. 

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am 6:108) 

Tetapi, apakah menunjukkan penghormatan kepada kepercayaan mereka bermaksud Muslim menerima kepercayaan mereka? Sudah tentu tidak. Sebabnya jelas, akidah yang berbeza dan prinsip Islam juga jelas iaitu ‘bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku’. 

Pendekatan dakwah yang bijaksana dan penuh hikmah adalah pendekatan yang bukan sahaja mampu menyampaikan mesej Islam dengan lebih efektif, tetapi juga dapat mengukuhkan hubungan kewujudan bersama secara aman dengan penganut agama lain.

Kita harus sentiasa berhati-hati dan bijak dalam memilih cara berdakwah agar mesej yang disampaikan tidak menimbulkan salah faham mahupun ketegangan. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending