Terkini
Hak kerakyatan anak lahir luar negara: Azalina kemuka usul pinda Perlembagaan
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul bagi meminda perlembagaan untuk membolehkan hak kewarganegaraan diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia agar dapat dibahas pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

- Datuk Seri Azalina Othman Said kemuka usul bagi meminda perlembagaan untuk membolehkan hak kewarganegaraan diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara agar dapat dibahas pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
- Usul itu bagi meminda Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan – (c) dalam Fasal (1)(b) dan (d) dalam Fasal (1)(c), dengan memasukkan perkataan “atau ibunya” selepas perkataan “bapanya”.
- Subfasal 2(a) dan 2(b) bertujuan memasukkan perkataan “atau ibunya” untuk melanjutkan kewarganegaraan bagi orang yang lahir pada atau selepas hari Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul bagi meminda perlembagaan untuk membolehkan hak kewarganegaraan diberikan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia agar dapat dibahas pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial itu berkata, usul itu dibuat bagi meminda Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan – (c) dalam Fasal (1)(b) dan (d) dalam Fasal (1)(c), dengan memasukkan perkataan “atau ibunya” selepas perkataan “bapanya”.
Katanya, Subfasal 2(a) dan 2(b) bertujuan memasukkan perkataan “atau ibunya” untuk melanjutkan kewarganegaraan bagi orang yang lahir pada atau selepas hari Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.
Terdahulu, pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S Nantha Balan pula menentang.
Dalam membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Kamaludin berkata, perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ibu atau ibu bapa.
Sebaliknya Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk membenarkan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan melalui peruntukan undang-undang di bawah Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa perkataan ‘bapa’ dalam Seksyen 1(b) hendaklah merangkumi ibu.
Hakim Kamaludin bagaimanapun berkata perkataan ‘bapa’ dalam Perkara 14(1)(b) dan peruntukan berkaitan dengannya dalam Jadual Kedua adalah jelas dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ‘ibu’.
“Hanya Parlimen yang boleh meminda perlembagaan, bukan mahkamah, untuk meminda perlembagaan. Mahkamah tidak boleh sesuka hati mengubah perlembagaan,” katanya.
