Connect with us

Antarabangsa

Ditahan tanpa perbicaraan, Israel lanjut tempoh tahanan peguam hak asasi kelahiran Palestin-Perancis

Israel melanjutkan tempoh penahanan peguam hak asasi manusia kelahiran Palestin-Perancis, Salah Hammouri yang ditahan tanpa perbicaraan oleh rejim sejak Mac lalu.

Wartawan TMT

Published

on

Ditahan tanpa perbicaraan, Israel lanjut tempoh tahanan peguam hak asasi kelahiran Palestin-Perancis
Foto: Salah Hammouri.
  • Rejim Israel lanjutkan tempoh tahanan peguam hak asasi manusia kelahiran Palestin-Perancis, Salah Hammouri, yang ditahan tanpa perbicaraan sejak Mac lalu sehingga Disember depan.
  • Hammouri, 37, ditahan di bawah perintah penahanan pentadbiran Israel yang kontroversi.
  • Penahanan pentadbiran adalah dasar Israel yang membenarkan pemenjaraan rakyat Palestin tanpa perbicaraan atau tuduhan, berdasarkan “bukti rahsia”, yang tidak dapat diakses tahanan atau peguamnya, untuk jangka masa tahanan yang tidak ditentukan. 
  • Sekurang-kurangnya 730 warga Palestin kini ditahan di bawah perintah penahanan pentadbiran Israel.
  • Kempen #JusticeforSalah dalam kenyataan medianya mengutuk lanjutan tempoh tahanan itu dan menggesa pembebasan Hammouri.

Baitulmuqaddis Timur – Israel melanjutkan tempoh penahanan peguam hak asasi manusia kelahiran Palestin-Perancis, Salah Hammouri yang ditahan tanpa perbicaraan oleh rejim sejak Mac lalu.

Ahad lalu, pihak berkuasa Israel mengumumkan pembaharuan penahanan pentadbiran Hammouri selama tiga bulan lagi, sehari sebelum hari pembebasannya. Perintah penahanan terbaru akan tamat pada 4 Disember depan.

Kempen #JusticeforSalah dalam kenyataan media menggesa pembebasan Hammouri dan mengecam keputusan itu. 

“Hanya beberapa jam sebelum pembebasannya dari Penjara Hadarim, rejim Israel telah memperbaharui penahanan pentadbiran (penjara) ke atas Salah,” kata kenyataan itu.

Hammouri, 37, yang juga bapa kepada dua anak, merupakan peguam dan pembela hak asasi rakyat Palestin dari Baitulmaqdis yang ditahan rejim zionis Israel sejak 7 Mac lalu.

Perintah penahanannya sebelum ini diperbaharui pada Jun lalu selama tiga bulan, menjadikan keputusan pada Ahad lalu sebagai lanjutan tempoh penahanan ketiga oleh rejim Israel.

Penahanan pentadbiran adalah dasar Israel yang membenarkan pemenjaraan rakyat Palestin tanpa perbicaraan atau tuduhan, berdasarkan “bukti rahsia”, yang tidak dapat diakses tahanan atau peguamnya, untuk jangka masa tahanan yang tidak ditentukan. 

Advertisement

Sekurang-kurangnya 730 warga Palestin kini ditahan di bawah perintah penahanan pentadbiran Israel.

Selaku penyelidik lapangan kumpulan hak tahanan Addameer yang berpangkalan di Ramallah, kes Hammouri menjadi tajuk utama global dengan kumpulan hak asasi antarabangsa dan tempatan menggesa pembebasan beliau.

Hammouri dipenjarakan beberapa kali sebelumnya oleh Israel, termasuk hukuman tujuh tahun penjara antara 2005 dan 2011 selain 13 bulan dalam tahanan pentadbiran pada 2017.

Pada 2016, dia dipisahkan secara paksa daripada isterinya yang berasal dari Perancis, Elsa Lefort.

Lefort yang hamil enam bulan ditahan selama tiga hari sejurus tiba di lapangan terbang Ben-Gurion di Tel Aviv untuk melawat suaminya.

Lefort diberitahu oleh pihak berkuasa di lapangan terbang bahawa dia merupakan “ancaman terhadap keamanan negara Israel,” katanya.

Advertisement

Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun dan seorang anak perempuan berusia 16 bulan, yang kini tinggal di Perancis.

“Sangat sukar bagi keluarga kami. Sejak saya dihantar pulang dari Palestin, kami hanya bertemu dua hingga tiga minggu setiap tahun. Anak-anak membesar tanpa ayah mereka,” katanya kepada Al Jazeera.

Hammouri pada awalnya ditahan di Penjara Ofer Israel dekat Ramallah sebelum dipindahkan ke penjara kawalan maksimum, Hadarim pada Julai setelah beliau menghantar surat terbuka kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron. 

Sumber: Al Jazeera

 

Author

Antarabangsa

‘Watchlist FBI’ sasar orang Islam, 12 warga AS saman Jabatan Kehakiman

Sekumpulan 12 Muslim warga Amerika Syarikat (AS), termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman AS pada 18 Sept lalu dalam usaha menamatkan penggunaan ‘watchlist’ atau senarai pemantauan rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Wartawan TMT

Published

on

‘Watchlist FBI’ sasar orang Islam, 12 warga AS saman Jabatan Kehakiman
Foto: Datuk Bandar Prospect Park, New Jersey Mohamed Khairullah,.
  • Sekumpulan 12 Muslim warga Amerika Syarikat (AS), termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman AS pada 18 Sept lalu dalam usaha menamatkan penggunaan ‘watchlist’ atau senarai pemantauan rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
  • Mereka mendakwa senarai pemantauan itu sengaja menyasarkan orang Islam kerana 98 peratus nama di dalamnya dari kalangan penganut Islam.
  • Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Massachusetts mengatakan dengan meletakkan individu itu dalam set data saringan pengganas, Kerajaan Persekutuan telah “menghukum” plaintif kepada kedudukan “kewarganegaraan kelas kedua seumur hidup.”
  • “Pelabelan itu menyebabkan mereka layak untuk kekal disyaki serta dikenakan kesan meluas yang mengubah setiap aspek kehidupan plaintif,” kata tuntutan mahkamah itu dipetik agensi berita Anadolu.
  • Plaintif termasuk Datuk Bandar Prospect Park, New Jersey Mohamed Khairullah, Michael Migliore, seorang Muslim Amerika yang menetap di Arab Saudi, Nidal El-Takach, seorang penduduk Michigan dan sembilan yang lain.

Sekumpulan 12 Muslim warga Amerika Syarikat (AS), termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman AS pada 18 Sept lalu dalam usaha menamatkan penggunaan ‘watchlist’ atau senarai pemantauan rahsia Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Mereka mendakwa senarai pemantauan itu sengaja menyasarkan orang Islam kerana 98 peratus nama di dalamnya dari kalangan penganut Islam.

Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Massachusetts mengatakan dengan meletakkan individu itu dalam set data saringan pengganas, Kerajaan Persekutuan telah “menghukum” plaintif kepada kedudukan “kewarganegaraan kelas kedua seumur hidup.”

“Pelabelan itu menyebabkan mereka layak untuk kekal disyaki serta dikenakan kesan meluas yang mengubah setiap aspek kehidupan plaintif,” kata tuntutan mahkamah itu dipetik agensi berita Anadolu.

Tuntutan itu juga mendakwa plaintif berdepan kemudaratan, penghinaan awam, pengawasan, gangguan dalam perjalanan, penafian pekerjaan dan “secara efektif dibuang oleh AS”. 

Saman itu turut menegaskan walaupun dikeluarkan dari senarai pemantauan FBI itu, mereka tetap akan mengalami kesan negatif seumur hidup yang bakal memudaratkan mereka.

Plaintif termasuk Datuk Bandar Prospect Park, New Jersey Mohamed Khairullah, Michael Migliore, seorang Muslim Amerika yang menetap di Arab Saudi, Nidal El-Takach, seorang penduduk Michigan dan sembilan yang lain.

Advertisement

Bercakap kepada pemberita di New Jersey, Khairullah berkata beliau belum dimaklumkan secara rasmi mengapa namanya berada dalam senarai pemantauan itu dan tidak juga diperjelaskan jika namanya sudah dikeluarkan. 
Sumber: Anadolu Ajansı

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending