Antarabangsa
Bantu pelarian Palestin, Jepun sumbang USD1.5 juta kepada UNRWA
Jepun menyumbang USD1.5 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) bagi memberi bantuan makanan di wilayah konflik Gaza yang dikepung Israel.

- Jepun menyumbang USD1.5 juta kepada UNRWA bagi membantu pelarian Palestin.
- Ia susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini pada minggu lalu yang memaklumkan di Majlis Keselamatan PBB bahawa badan dunia itu sedang menghadapi krisis kewangan.
- Bantuan itu merupakan tanda solidariti berterusan Jepun kepada pelarian Palestin.
Jepun menyumbang USD1.5 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) bagi memberi bantuan makanan di wilayah konflik Gaza yang dikepung Israel.
Pengumuman bantuan itu disampaikan timbalan wakil khas Jepun ke Palestin, Takashi Hattori yang menyifatkan sumbangan terbabit adalah tanda solidariti berterusan Jepun kepada pelarian Palestin.
“Saya sangat gembira untuk berkongsi dengan anda bahawa Kerajaan Jepun memutuskan untuk menyumbang 200 juta yen kepada UNRWA pada masa genting ini. Sumbangan ini mewakili komitmen dan solidariti berterusan kami kepada pelarian Palestin,” katanya dipetik Middle East Monitor.
Pengarah Perhubungan Luar dan Komunikasi UNRWA, Tamara Alrifai berkata, “sumbangan tidak berbelah daripada Kerajaan Jepun ini adalah bukti bahawa perpaduan bersama pelarian Palestin tidak mengira jarak dan tempat.
“UNRWA berterima kasih kepada Jepun atas sokongan berterusannya yang membolehkan penyediaan bantuan kemanusiaan disampaikan pada masa genting,” katanya wakil badan dunia itu.
Inisiatif Jepun itu menyusuli kenyataan Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini yang memaklumkan pada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, bahawa badan dunia itu berdepan krisis dana, merayu sokongan politik dan kewangan.
“UNRWA berhadapan dengan ancaman membimbangkan. Apa yang dipertaruhkan? Kualiti dan pendidikan asas untuk lebih setengah juta kanak-kanak perempuan dan lelaki, akses penjagaan kesihatan menampung kira-kira dua juta pelarian Palestin serta jaringan keselamatan sosial 400,000 individu paling miskin, ancaman ini amat bahaya,” tegas Lazzarini.
UNRWA ditubuhkan pada 1949 untuk menyediakan bantuan dan perlindungan kepada pelarian Palestin di Jordan, Syria, Lubnan, Tebing Barat dan Gaza sehinggalah mendapat hak untuk pulang ke tanah air mereka yang sebelum ini dihalau keluar susulan penubuhan negara haram Israel.
Sumber: Middle East Monitor
