Terkini
Asing kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya, 19 pindaan perlu dibuat terhadap perlembagaan negara
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar masih mengkaji implikasi dan beban kerajaan bagi mewujudkan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya.

- Kerajaan masih mengkaji implikasi cadangan untuk pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
- Walaupun banyak negara Komanwel telah melakukan pengasingan kuasa tersebut namun berbeza dengan Malaysia kerana terdapat sejumlah 19 undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.
- Cadangan pengasingan kuasa juga melibatkan kos tambahan kepada kerajaan.
- Kerana Peguam Negara dan pendakwa raya perlu mempunyai kemudahan infrastruktur sendiri seperti pejabat, perpustakaan malah perlu mengaji staf serta penasihat masing-masing.
- Wan Junaidi menyokong cadangan pengasingan kuasa tersebut namun kajian menyeluruh perlu dibuat sebelum keputusan dibuat.
KUCHING – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar masih mengkaji implikasi dan beban kerajaan bagi mewujudkan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya.
Walaupun banyak negara Komanwel yang telah berbuat demikian, namun untuk Malaysia mengikut hal sama memerlukan pindaan dibuat terhadap 19 udang-undang dan Perlembagaan Malaysia.
Pengasingan kuasa itu juga akan melibatkan kos tambahan kepada perbelanjaan kerajaan kerana Peguam Negara dan pendakwa raya perlu memiliki kemudahan pejabat sendiri, perpustakaan, staf serta penasihat masing-masing.
“Kita juga tidak tahu berapa juta diperlukan setahun untuk membiayai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan wang deposit pembelian tanah Masjid Kampung Sejingkat.
Wan Junaidi secara peribadi menyokong cadangan pengasingan kuasa itu namun kajian menyeluruh perlu dibuat sebelum keputusan ditentukan.
Penganalisis politik dari Universiti Sunway, Prof Wong Chin Huat sebelum ini dalam laporan media tempatan mencadangkan agar pengasingan peranan pendakwa raya daripada Peguam Negara dibuat sebelum Pilihan Raya Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagi memahami Prinsip Pengasingan Kuasa di Malaysia, perlu dilihat artikel bertajuk, “Pengasingan Kuasa Pendakwaan” oleh Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Perlembagaan Persekutuan mengasingkan Badan Eksekutif (Executive), Badan Perundangan (Legislature) dan Badan Kehakiman (Judiciary). Ketiga-tiga badan ini dikenali sebagai tiga cabang kerajaan. Peguam Negara (Perkara 145) diletak di bawah Perkhidmatan Awam.
Perlu difahami bahawa ketiga-tiga badan kerajaan itu mempunyai kuasa yang berasingan. Kuasa Badan Perundangan, melalui Parlimen, ialah membuat undang-undang.
Kuasa Badan Eksekutif, melalui kementerian dan jabatan ialah mentadbir negara mengikut undang-undang. Ini termasuk menyiasat dan mendakwa orang-orang yang melanggar kesalahan-kesalahan yg diperuntukkan oleh undang-undang.
Kuasa Badan Kehakiman, melalui mahkamah, ialah untuk mengadili kes-kes termasuk kes-kes jenayah.
Pembahagian kuasa ini dibuat supaya sesuatu badan itu tidak membolot semua kuasa pemerintahan atau supaya terdapat “check and balance” dalam pentadbiran sesebuah negara.
Sekarang ini kuasa untuk mendakwa terletak kepada Peguam Negara. Adalah susah baginya untuk mendakwa orang yang berkuasa. Oleh itu sepatutnya ia diletakkan di bawah Parlimen atau satu agensi pendakwaan.
Dalam konteks Malaysia hari ini, oleh sebab Peguam Negara dilantik oleh YDP Agong atas nasihat Perdana Menteri, dan oleh sebab Peguam Negara adalah salah satu daripada Perkhidmatan Awam (Public Services), maka tidak mungkin Peguam Negara akan mendakwa Perdana Menteri.
Rencana in semata-mata berasaskan prinsip undang-undang perlembagaan, tidak kira siapa yang menjadi Perdana Menteri dan Peguam Negara.
Perlu diingati bahawa kita telah memilih sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen sebagai sistem pemerintahan kita dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan. Raja berperlembagaan membuat sesuatu perkara atas nasihat Perdana Menteri, melainkan dalam beberapa perkara tertentu.
