Connect with us

Antarabangsa

Wanita muslim hamil lima bulan sewaktu dirogol rayu kerajaan India batal keputusan pembebasan 11 lelaki hindu

Seorang wanita Islam yang dirogol beramai-ramai ketika hamil semasa insiden rusuhan agama dahsyat di India pada 2002 merayu kerajaan membatalkan keputusan pembebasan 11 lelaki yang dipenjarakan seumur hidup kerana melakukan jenayah itu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Wanita muslim hamil lima bulan sewaktu dirogol rayu kerajaan India batal keputusan pembebasan 11 lelaki hindu
  • Bilkis Bano, mangsa yang diperkosa secara kejam ketika rusuhan agama di India, pada 2002, merayu kepada kerajaan membatalkan keputusan pembebasan 11 lelaki yang memperkosanya dan membunuh tujuh ahli keluarganya.
  • Wanita Muslim itu hamil lima bulan ketika dia diperkosa secara kejam dalam keganasan komunal pada 2002 di Gujarat, yang menyaksikan hampir 2,000 mangsa, majoritinya penganut Islam, maut dalam rusuhan agama terburuk di India.
  • Kesemua pelaku sebelum itu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas jenayah merogol dan membunuh tujuh ahli keluarga Bilkis, termasuk anak perempuan mangsa yang berusia tiga tahun.
  • Mahkamah Gujarat membebaskan 11 lelaki Hindu terbabit pada 15 Ogos lalu sempena 75 tahun kemerdekaan India selepas diberi pengampunan.

INDIA – Seorang wanita Islam yang dirogol beramai-ramai ketika hamil semasa insiden rusuhan agama dahsyat di India pada 2002 merayu kerajaan membatalkan keputusan pembebasan 11 lelaki yang dipenjarakan seumur hidup kerana melakukan jenayah itu.

Bilkis Bano, kini dalam lingkungan 40-an, hamil lima bulan ketika dia diperkosa secara kejam dalam keganasan komunal pada 2002 di Gujarat, yang menyaksikan hampir 2,000 mangsa, majoritinya penganut Islam, maut dalam rusuhan agama terburuk yang berlaku di India.

Tujuh ahli keluarga Bilkis turut terbunuh dalam insiden keganasan itu, termasuk anak perempuannya baru berusia tiga tahun yang kepalanya dihempas ke tanah oleh pelaku di kawasan Limkheda di daerah Dahod di Gujarat.

Bilkis dan dua anaknya adalah mangsa yang terselamat daripada sekumpulan 17 orang Islam.

Sebelas lelaki terbabit dibebaskan pada 15 Ogos lalu ketika India menyambut 75 tahun kemerdekaannya daripada pemerintahan British, disabitkan pada 2008 atas tuduhan merogol, membunuh dan terbabit dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Penyerang (11 lelaki terbabit) disambut saudara mara dan ahli kumpulan berhaluan kanan Hindu di luar penjara yang memberi gula-gula dan menyentuh kaki mereka sebagai tanda penghormatan tradisional India.

Bilkis berkata keputusan kerajaan negeri Gujarat membebaskan perogolnya telah menyebabkannya “hilang kata-kata” dan menggoyahkan kepercayaannya terhadap keadilan.

“Bagaimana keadilan untuk seorang wanita boleh berakhir seperti ini? Saya percaya dengan mahkamah tertinggi di negara kita,” kata Bilkis dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 17 Ogos dipetik AlJazeera.

“Tolong batalkan keputusan ini, kembalikan hak saya untuk hidup tanpa rasa takut dan aman,” kata Bilkis menambah pihak berkuasa tidak menghubunginya mengenai pembebasan penjenayah terbabit.

Kesemua pelaku sebelum itu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas jenayah merogol dan membunuh tujuh ahli keluarga Bilkis, termasuk anak perempuan mangsa yang berusia tiga tahun.

Mahkamah Gujarat membebaskan 11 lelaki Hindu terbabit pada 15 Ogos lalu sempena 75 tahun kemerdekaan India selepas diberi pengampunan.

Sumber: Al Jazeera

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *