Terkini
LGBT: “Di Malaysia tiada mak nyah dibunuh kerana benci,” – Pensyarah
“Dari segi undang-undang ingin saya maklumkan bahawa kita ada Undang-Undang Syariah yang bersifat mengawal dan mendidik orang ramai dari mengambil tindakan sendiri.”
- “Kita ada Undang-Undang Syariah yang bersifat mengawal dan mendidik orang ramai dari mengambil tindakan sendiri.”
- “Human Right Watch (HRW) patut lihat di Malaysia tidak ada mak nyah yang dibunuh kerana benci (hate crime) berbanding negara luar.” – Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
- Data dikeluarkan satu projek penyelidikan Transrespect versus Transphobia Worldwide (TvT) dikemaskini sempena Hari Peringatan Trans 2021 menunjukkan 375 pembunuhan orang transgender pelbagai jantina dilaporkan berlaku di banyak negara Eropah antara 1 Okt 2020 – 30 Sept 2021.
- Brazil kekal negara dilaporkan majoriti pembunuhan (125), diikuti Mexico (65) dan Amerika Syarikat (53).
- Data juga menunjukkan, 4042 orang trans pelbagai jantina dilaporkan dibunuh antara 1 Jan 2008 dan 30 Sept 2021.
- Justeru, tiada keperluan bagi HRW dan sekutunya desak Malaysia hapuskan undang-undang kita kerana negara-negara luar yang tiada Undang-Undang Syariah lebih banyak kes ‘hate crime’ melibatkan mak nyah.
- Data ini menunjukkan rata-rata transgender dibunuh kerana jenayah benci (hate crime) dan kebanyakkan dilaporkan berlaku di Amerika Latin, Brazil dan Argentina.
KUALA LUMPUR – “Dari segi undang-undang ingin saya maklumkan bahawa kita ada Undang-Undang Syariah yang bersifat mengawal dan mendidik orang ramai dari mengambil tindakan sendiri.”
“Human Right Watch (HRW) ini patut lihat bahawa di Malaysia tidak ada mak nyah yang dibunuh kerana benci (hate crime) berbanding di negara luar,” tegas Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, dipetik Samudera pada Isnin.
Menurutnya, mengikut data dikeluarkan satu projek penyelidikan Transrespect versus Transphobia Worldwide (TvT) yang dikemaskini sempena Hari Peringatan Trans 2021 menunjukkan sejumlah 375 pembunuhan orang transgender pelbagai jantina dilaporkan telah berlaku di banyak negara Eropah antara 1 Oktober 2020 hingga 30 September 2021.
Pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, menerusi data itu, Brazil kekal sebagai negara yang melaporkan majoriti pembunuhan (125), diikuti Mexico (65) dan Amerika Syarikat (53). Data juga menunjukkan bahawa sejumlah 4042 orang trans pelbagai jantina dilaporkan telah dibunuh antara 1 Januari 2008 dan 30 September 2021.
Jelasnya, daripada jumlah kes itu 96% daripada mereka yang dibunuh di seluruh dunia adalah wanita trans atau transfeminine. Manakala pekerjaan 58% daripada orang trans yang dibunuh diketahui adalah pekerja seks.
Tambah beliau, menerusi data berkenaan dilaporkan juga terdapat pembunuhan orang trans di Amerika Syarikat meningkat dua kali ganda daripada tahun lepas iaitu 89% di mana dicatatkan berlaku pembunuhan tertinggi setakat ini dan daripada 53 orang trans yang dibunuh 43% daripada yang dibunuh di benua Eropah itu adalah pendatang.
Manakala, 70% daripada semua pembunuhan yang didaftarkan berlaku di Amerika Tengah dan Selatan dan 33% berlaku di Brazil.
Catatan data lokasi kejadian menunjukkan 36% daripada pembunuhan berlaku di jalanan dan 24% di kediaman mereka sendiri dengan purata umur mereka yang dibunuh ialah 30 tahun dan yang paling muda berumur 13 tahun manakala yang paling tua 68 tahun.
Selain itu, terdapat juga kes-kes dari Greece, Kazakhstan, dan Malawi yang dilaporkan terjadi buat kali pertama.
Jelas Dr Rafidah, jika kita lihat data yang dikeluarkan sendiri oleh mereka menunjukkan rata-rata transgender ini dibunuh kerana jenayah benci (hate crime) dan jelas telah dilaporkan banyak berlaku di Amerika Latin, Brazil dan Argentina. Pertama, di Brazil umpamanya banyak transgender dibunuh kerana ‘hate crime’ dan nombor dua di US.
Bagaimanapun, jika diperhatikan di Malaysia langsung tidak ada kes yang dilaporkan seumpama itu terjadi.
Maka, sudah sepatutnya HRW ini melihat ke negara-negara yang tidak ada Undang-Undang Syariah ini dan mempersoalkan serta mengkaji kenapa di sana lebih tinggi pembunuhan mak nyah akibat benci?
Dr Rafidah berkata, tidakkah mereka tertanya-tanya mengapa negara kita yang ada Undang-Undang Syariah ini tidak ada kes-kes kejam sedemikian.
Ujarnya, ini disebabkan hukuman-hukuman Syariah ini masih lagi bersifat mendidik dan menjadi saluran supaya orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri kerana mempercayai penguat kuasa agama dan merasa tenteram di sini.
Perkara ini sekali gus menolak dakwaan tidak masuk akal dari kenyataan dangkal tidak bertanggungjawab dan berat sebelah Pengasas bersama Justice for Sisters, Thilaga Sulathireh yang turut mendakwa bahawa program anti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang disokong oleh pihak Kerajaan boleh membuatkan golongan ini mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.
Sedangkan, program-program kesedaran anjuran Kerajaan yang didakwa mereka melanggar hak asasi manusia sehingga dikatakan akan memberi kesan kepada kehidupan orang ramai itulah yang patut disokong oleh Hak Asasi Manusia, bukan menafikannya kerana telah terbukti ia lebih banyak membawa kepada kebaikan sejagat.
Tambah beliau, cuba kita bayangkan, kalaulah tidak ada undang-undang sedemikian sudah tentu akan ada kemungkinan pihak yang berani mengambil tindakan sendiri, tetapi itu tidak berlaku di Malaysia kerana Undang-Undang Syariah itu sendiri bersifat mengawal dan mendidik orang ramai dari mengambil tindakan sendiri.
Maka di sini, tidak ada keperluan pun bagi HRW dan sekutunya untuk mendesak Malaysia menghapuskan undang-undang kita kerana negara-negara luar yang tidak ada Undang-Undang Syariah lebih banyak kes ‘hate crime’ melibatkan mak nyah daripada negara kita.
“Jenayah di luar negara itu yang sepatutnya mereka khawatirkan dan dahulukan untuk dipersoal atau diubah jika mereka benar-benar memperjuangkan Hak Asasi Manusia yang sebenar,” ujarnya.
Sumber : Samudera