Connect with us

Terkini

Demi pendidikan, Ibu Zain langgar ‘sumpahan’ masyarakat Melayu

Ketika tanah air ini belum mengecapi kemerdekaan, anak gadis masyarakat Melayu juga tersekat ‘kebebasan’ mereka dalam meraih pendidikan.

Hidayah Sani

Published

on

Demi pendidikan, Ibu Zain langgar ‘sumpahan’ masyarakat Melayu
Foto: Tan Sri Hajah Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain. Sumber - ibuzain.blogspot.com.

Ketika tanah air ini belum mengecapi kemerdekaan, anak gadis masyarakat Melayu juga tersekat ‘kebebasan’ mereka dalam meraih pendidikan.

Tatkala itu, murid perempuan sekadar diajar membaca Quran, hanya di tempat tertentu mereka diajar membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, ianya jauh berbeza dengan murid lelaki  (Mansur Sanusi,1955:31).

Bahkan, Majalah Al-Imam yang diterbitkan tahun 1906-1908 juga pernah memperjuangkan agar wanita Melayu diberikan hak pendidikan yang sama dengan kaum lelaki.

Tapi siapa sangka, ‘sumpahan’ itu dipatahkan oleh seorang anak gadis Melayu sendiri.

Mungkin kita boleh katakan ilmu telah menjadi darah dagingnya sehingga wanita itu mampu menubuhkan sebuah sekolah di Pusat Jaya, Negeri Sembilan di usia 17 tahun dengan menggunakan duit beliau sepenuhnya untuk membasmi buta huruf.

Suatu pencapaian yang tidak ramai mampu gapai, khususnya dalam kalangan anak gadis seusianya namun tokoh pendidikan ini mempunyai mempunyai kesedaran sangat tinggi untuk melihat lebih ramai kaum wanita pandai membaca dan menulis ketika itu.

Tan Sri Hajah Zainon Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain, beliau berpegang bahawa ilmu merupakan kunci membentuk jati diri hingga kita dapat saksikan sendiri bagaimana beliau berjaya menyatupadukan golongan wanita untuk menentang penjajah ketika itu hanya bersandarkan ilmu.

Wanita yang dilahirkan pada 22 Januari 1903 di Kampung Nyalas, Melaka itu, mungkin namanya jarang dibicarakan sebagaimana tokoh-tokoh kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, Tun Sir Henry HS Lee, Tun VT Sambanthan, Rentap,  dan lain-lain namun beliau berjaya mencipta sejarah yang tersendiri sebagai antara tokoh kemerdekaan wanita.

Bahkan, sejarah beliau pernah diangkat melalui Teater Muzikal Ibu Zain yang diadakan di Istana Budaya pada tahun 2008.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, tidak ramai wanita berpendidikan tinggi dan bekerjaya namun Ibu Zain bertuah kerana bapanya Munshi Sulaiman berasal dari Riau, Indonesia mempunyai kesedaran yang tinggi tentang pentingnya pendidikan.

Anak kepada guru Bahasa Melayu itu, telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Perempuan Methodist Kampung Belanda, Tengkera, Melaka dan diikuti dengan kelulusan Junior Cambridge.

Di sinilah bermulanya, kejayaan demi kejayaan dijunjung oleh beliau dengan memartabatkan ilmu di mata anak bangsa Tanah Melayu sekaligus lantang menentang penjajahan daripada Jepun.

Lebih membanggakan apabila ketika beliau dilingkari dengan dakyah barat semasa bersekolah di sekolah Inggeris, Ibu Zain mampu mempertahankan akidahnya yang terdidik dari kecil ketika ditawarkan menjadi mubaligh Kristian.

Satu laporan mengatakan, beliau juga pernah menolak tawaran sebagai mubaligh Kristian ketika itu.

Pendidik berjiwa nasionalis ini memulakan kerjayanya sebagai guru percubaan di Sekolah Perempuan Bandar Maharani, Muar diusia 18 tahun di mana keadaan sekolah Melayu pada ketika itu ibarat langit dengan bumi jika dibandingkan dengan sekolah sekular Inggeris.

Pada tahun 1927 pula, Ibu Zain menggalas tanggungjawab yang lebih besar apabila beliau diberi kepercayaan untuk menjadi Penyelia Sekolah-Sekolah Perempuan Seluruh Negeri Johor.

Di kesempatan bagi menyemarakkan lagi semangat juangnya dalam menentang penjajah, Ibu Zain telah mengasaskan majalah Guru dan Bulan Melayu.

Kedudukan kaum wanita dibincangkan dengan lebih rancak menerusi penerbitan majalah tersebut yang ingin membebaskan kaum itu dari belenggu adat-adat lama dan sekaligus membuka minda mereka untuk terus maju dalam dunia moden pada waktu itu.

Wanita berjiwa pendidik ini bukan sahaja berjuang dalam meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa tetapi juga giat dalam pertubuhan sukarela dengan menubuhkan Persekutuan Guru-Guru Perempuan Melayu dan memimpin pertubuhan tersebut selama 19 tahun.

Selain itu, Ibu Zain turut mempelajari Bahasa Arab walaupun telah mempelajari bahasa al-Quran ini daripada ayahnya, tetapi beliau tetap mendalami Bahasa Arab daripada Haji Fadzullah Suhaimi.

Semasa perjalanan ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji pada tahun 1933, beliau berjaya mempelajari tafsir al-Quran daripada guru agama iaitu Ustaz Mohd Amin Ahmad yang kemudiannya menjadi suaminya.

Di samping menunaikan haji, Ibu Zain juga sempat melawat beberapa sekolah di Mesir untuk diaplikasikan dalam usaha memajukan sistem pendidikan tanah air.

Penglibatan beliau di dalam pelajaran dan pendidikan wanita mendorong beliau menganjurkan satu tabung derma Pelajaran Tinggi untuk anak-anak perempuan Melayu Semenanjung dengan tujuan supaya kolej bagi Perempuan Melayu dapat ditubuhkan.

Akhirnya beliau berjaya menubuhkan Kolej Puteri Tuanku Ampuan Mariam dalam tahun 1948 yang beliau sendiri menjadi pengetuanya.

Ibu Zain turut memainkan peranan dalam mendaulatkan bahasa Melayu. Beliau terlibat dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada tahun 1956, sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1958.

Memerdekakan wanita Melayu

Tapi kita juga tidak dapat nafikan, bahawa ‘tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia.’

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain turut menyumbang bakti dengan menyatukan kaum ibu untuk turut serta menyokong usaha tersebut menerusi pengaruhnya sebagai pendidik.

Di zaman konfrontasi dengan komunis, wanita berani ini mendaftar diri sebagai tentera sukarela dan meredah hutan seorang diri. Beliau bergerak dari satu kampung ke kampung yang lain bagi menangkis dakyah komunis daripada menular dalam kalangan masyarakat.

Menyedari nasib kaum wanita seolah-olah dipinggirkan, Ibu Zain pantas menubuhkan Kumpulan Ibu Sepakat pada tahun 1945 semasa Jepun sedang bermaharajalela menzalimi kaum Melayu dan penduduk Tanah Melayu.

Semasa pendudukan Jepun, Ibu Zain telah mempelajari Bahasa Jepun. Kebolehannya berbahasa Jepun dalam tempoh sebulan menyebabkan beliau dihormati oleh pegawai dan askar dari negara matahari terbit itu.

Oleh itu, Ibu Zain dibenarkan terus mengajar di sekolahnya dengan syarat Bahasa Jepun juga perlu diajar. Beliau turut menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka selepas dianiaya oleh askar tersebut.

Betapa beliau menghargai insan bergelar wanita, hinggakan beliau sendiri mencadangkan perayaan Hari Wanita yang diraikan pada 25 Ogos setiap tahun. Walau bagaimanapun, Hari Wanita pertama kali diraikan pada tahun 1962 yang dikenali sebagai Hari Ibu di Johor Bahru.

Kecintaannya terhadap hal ehwal wanita mendorongnya menyertai pergerakkan Pandu Puteri sehinggakan beliau dicatatkan sebagai wanita Melayu pertama menyertai pergerakkan ini.

Namun, bagaimana pula wanita yang bermula sebagai pendidik ini pada akhirnya terjun ke dunia politik dengan membawa pegangan yang sama iaitu ilmu adalah kunci segala-galanya?

Sumber : Malay Civilization

Author

Terkini

Susu formula, makanan bayi ikut piawaian makanan tempatan dan dunia – Nestle Malaysia

Produk susu formula dan makanan bayi Nestle Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan peraturan makanan tempatan.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Produk susu formula dan makanan bayi Nestle Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan peraturan makanan tempatan.
  • Nestle Malaysia berkata ia termasuk keperluan pelabelan khusus dalam produk mereka yang mengikut had ambang untuk karbohidrat dan gula tambahan.
  • Katanya, susu formula bayi Nestle dan Wyeth menggunakan laktosa sebagai sumber tunggal karbohidrat. 
  • “Begitu juga bijirin bayi Nestle mematuhi kedua-dua piawaian antarabangsa dan peraturan makanan Malaysia.
  • “Di mana sahaja produk kami dijual, profil pemakanannya mematuhi semua peraturan tempatan yang terpakai,” kata Nestle Malaysia dalam kenyataan yang dipetik New Straits Times semalam.
  • Kenyataan itu mengulas mengenai kajian Public Eye dan International Baby Food Action Network (IBFAN) yang mendapati tahap gula tambahan yang tinggi dalam produk Nestle menyasarkan bayi di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

KUALA LUMPUR – Produk susu formula dan makanan bayi Nestle Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan peraturan makanan tempatan.

Nestle Malaysia berkata ia termasuk keperluan pelabelan khusus dalam produk mereka yang mengikut had ambang untuk karbohidrat dan gula tambahan.

Katanya, susu formula bayi Nestle dan Wyeth menggunakan laktosa sebagai sumber tunggal karbohidrat. 

“Laktosa juga sumber utama karbohidrat dalam susu tumbesaran Nestle dan Wyeth.

“Begitu juga bijirin bayi Nestle mematuhi kedua-dua piawaian antarabangsa dan peraturan makanan Malaysia.

“Di mana sahaja produk kami dijual, profil pemakanannya mematuhi semua peraturan tempatan yang terpakai,” kata Nestle Malaysia dalam kenyataan yang dipetik New Straits Times semalam.

Nestle Malaysia bagaimanapun berkata sedikit variasi dalam resipi merentas negara akan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk memenuhi keperluan peraturan tempatan dan ketersediaan bahan tempatan.

Kajian Public Eye dan International Baby Food Action Network (IBFAN) sebelum ini mendapati tahap gula tambahan yang tinggi dalam produk Nestle menyasarkan bayi di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Kajian dikongsikan Al Jazeera Plus (AJ+) dalam Instagram semalam mendapati bijirin berasaskan gandum, Cerelac untuk bayi berusia enam bulan mempunyai 6 gram (g) gula tambahan di Thailand, 5.2g gula tambahan di Ethiopia dan 4g gula tambahan di Afrika Selatan.

Sedangkan produk sama yang dijual di United Kingdom (UK) dan Jerman tidak mengandungi sebarang gula tambahan. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending