Terkini
“Kambing pun kena rogol” – selar Ahli Parlimen Kuantan terhadap pihak yang sifatkan seksi punca rogol!
Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh mengkritik kenyataan sesetengah pihak yang cepat menghukum wanita berpakaian seksi sebagai punca kepada kejadian rogol atau gangguan seksual.

- YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan mengkritik kenyataan sesetengah pihak yang menyifatkan pakaian seksi menjadi punca kes gangguan seksual.
- Beliau berpendapat sikap menghukum seperti itu akan membuatkan mangsa tidak berani membuat laporan.
- Rang undang-undang AGS bertujuan membela hak mangsa, bukannya menghukum mereka.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh mengkritik kenyataan sesetengah pihak yang cepat menghukum wanita berpakaian seksi sebagai punca kepada kejadian rogol atau gangguan seksual ketika perbahasan mengenai rang undang-undang Antigangguan Seksual 2021 dijalankan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata tindakan menghukum seperti itu langsung tidak membantu mangsa-mangsa untuk membuat laporan atau aduan kepada pihak berkuasa.
“Nenek 74 tahun kena rogol. Kanak-kanak lima tahun pun kena rogol. Remaja lelaki pun kena rogol. Malah kambing pun kena rogol, Yang di Pertua, sampai mati kambing tu,” kesalnya.
“Adakah kita kata mereka berpakaian seksi?” soalnya lagi.
Beliau menyifatkan hujah-hujah seperti ini tidak rasional dan tidak mencerminkan keupayaan bagi membela nasib rakyat.
Sebagai ahli parlimen yang dilantik menjadi wakil rakyat, Fuziah menyatakan sikap menghukum akan membuatkan mangsa ragu-ragu untuk tampil ke hadapan.
Sebaliknya, persekitaran yang mengalakkan mangsa supaya berani membuat laporan perlu diwujudkan.
Fuziah turut menegaskan bahawa penggubalan rang undang-undang tersebut bertujuan membela hak mangsa, bukannya untuk menghukum.
Sumber: FMT
