Antarabangsa
Meta larang iklan sasar remaja berdasarkan jantina
Meta, syarikat induk Instagram dan Facebook mengumumkan, akan melarang iklan yang menyasarkan remaja berdasar status jantina, sebagai usaha untuk melawan dakwaan pentas itu berbahaya kepada pengguna muda.
- Pengiklan sumber pendapatan besar syarikat, hanya dapat menggunakan umur dan lokasi saja ketika mereka menyasarkan iklan kepada remaja di seluruh dunia. – Generasi Media Sosial
- Perubahan itu berlaku bagi iktiraf ‘remaja dalam membuat keputusan mengenai cara mengurus data dalam talian bagi pengiklanan dan tidak semestinya seperti orang dewasa’. – Meta
- Perubahan itu mencerminkan maklum balas dari ibu bapa dan pakar serta akan patuhi peraturan baharu di beberapa negara mengenai kandungan yang ditujukan kepada golongan muda.
- Mereka ‘meletakkan syarikat media sosial bertanggungjawab atas kemudaratan yang dilakukan terhadap kesihatan sosial, emosi dan mental’ pelajar-pelajar remaja. – Pegawai sekolah awam
SAN FRANCISCO: Meta, syarikat induk Instagram dan Facebook mengumumkan, akan melarang iklan yang menyasarkan remaja berdasar status jantina, sebagai usaha untuk melawan dakwaan pentas itu berbahaya kepada pengguna muda.
Bermula pada Februari ini, gergasi media sosial itu berkata, pengiklan yang juga sumber pendapatan besar syarikat, hanya dapat menggunakan umur dan lokasi saja ketika mereka menyasarkan iklan kepada remaja di seluruh dunia.
Kata syarikat itu, aktiviti yang dilakukan remaja dalam aplikasi Meta juga tidak lagi boleh mengesan iklan yang mereka lihat.
Meta berkata, perubahan itu berlaku bagi mengiktiraf ‘remaja dalam membuat keputusan mengenai cara mengurus data dalam talian bagi pengiklanan dan tidak semestinya seperti orang dewasa’.
Katanya, perubahan itu juga mencerminkan maklum balas daripada ibu bapa dan pakar serta akan mematuhi peraturan baharu di beberapa negara mengenai kandungan yang ditujukan kepada golongan muda.
Syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Facebook, ketika ini berdepan tekanan dan denda yang semakin meningkat bagi mengekang amalannya menyampaikan iklan yang disasarkan secara terus kepada pengguna dan ia adalah amalan yang membawa masuk berbilion dolar hasil daripada pengiklan setiap tahun.
Selepas kes mahkamah yang panjang, gergasi Lembah Silikon itu juga sudah dikenakan denda 390 juta euro (RM1.8 bilion) minggu lalu, selepas pertikaian selama bertahun-tahun dengan Kesatuan Eropah (EU) berhubung isu pengiklanan.
Pengawal selia Eropah itu juga menolak asas undang-undang yang digunakan Meta untuk mewajarkan pengumpulan data peribadi pengguna bagi tujuan pengiklanan yang disasarkan, sekali gus membimbangkan firma yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg itu.
Google dan Apple juga berdepan penyiasatan dan denda oleh pengawal selia itu kerana melanggar undang-undang kerahsiaan peribadi melalui iklan yang disasarkan.
Di Amerika Syarikat (AS), Meta dan gergasi media sosial lain kebanyakannya berdepan penelitian daripada pihak berkuasa tempatan, tetapi undang-undang di seluruh negara tersekat disebabkan langkah melobi oleh gergasi teknologi dan Kongres di Washington.
Sekolah awam di bandar Seattle minggu lalu memfailkan saman terhadap gergasi teknologi, termasuk Meta, kerana didakwa menyebabkan kecederaan mental, kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan pelajar.
Pegawai sekolah awam itu berkata mereka ‘meletakkan syarikat media sosial bertanggungjawab atas kemudaratan yang dilakukan terhadap kesihatan sosial, emosi dan mental’ pelajar-pelajar remaja. – AFP
Sumber: Berita Harian