Connect with us

Terkini

PDRM mohon notis Merah Interpol kesan aktivis Tamim Dahri – KDN

Published

on

Foto: Aktivis Tamim Dahri Abdul Razak
  • Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan Notis Merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan aktivis tersebut.
  • Notis Merah itu ditujukan khusus kepada aktivis Tamim Dahri bagi tujuan membawa beliau pulang ke Malaysia.
  • Beliau dikehendaki untuk menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Langkawi.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan Notis Merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan dan membawa pulang aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang dikehendaki bagi menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Langkawi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, hasil semakan rekod pergerakan keluar masuk negara dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati suspek masih berada di luar negara.

“PDRM telah memperoleh waran tangkap daripada Majistret Langkawi pada 17 Mei 2026 dan telah bertindak menyenaraihitamkan suspek.

“Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, PDRM telah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya mengemukakan permohonan Notis Merah kepada pihak Interpol pada 8 Jun 2026,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai lokasi semasa Tamim Dahri serta langkah yang telah dan sedang diambil kerajaan untuk mengesan, menangkap dan membawa balik individu itu ke Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan merosakkan “soolam” yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi.

Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah), KDN memaklumkan kos penyiapan baki dua OPV untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disemak kepada RM319.58 juta.

Menurut KDN, status semasa penyiapan OPV 2 dan OPV 3 kini berada di peringkat pelantikan syarikat bagi kontrak penyiapan selepas kontrak asal perolehan tiga kapal OPV ditamatkan secara bersama dengan THHE Destini Sdn Bhd pada 31 Dis 2024.

Kapal OPV 1 yang dinamakan sebagai KM Tun Fatimah pula telah diserahkan kepada APMM pada 2 Jan 2024.

“Selaras dengan surat terkini yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada 5 Jun, KDN akan mengadakan rundingan harga semula dengan syarikat. KDN juga di peringkat perbincangan bersama pelikuidasi bagi memasuki limbungan Pulau Indah.

“KDN menjangkakan penyiapan baki kerja OPV 2 dan 3 dapat dimulakan seawal November ini, tertakluk kepada pengaktifan limbungan Pulau Indah,” menurut kementerian itu.

Ikmal Hisham dalam soalan berkenaan meminta KDN menyatakan status terkini pembinaan baki dua OPV.

Dalam pada itu, menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin), KDN memaklumkan pelaburan tidak wujud, jenayah telekomunikasi dan jenayah e-kewangan menyumbang lebih 90 peratus daripada keseluruhan kerugian akibat penipuan dalam talian bagi tempoh 2024 hingga Mei 2026.

Menurut KDN, jumlah kerugian bagi tiga kategori itu mencecah RM4.88 bilion daripada keseluruhan RM5.37 bilion kerugian yang direkodkan.

Pelaburan tidak wujud merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM2.68 bilion, diikuti jenayah telekomunikasi (RM1.54 bilion), jenayah e-kewangan (RM660.64 juta), jenayah e-dagang (RM250.81 juta), pinjaman tidak wujud (RM138.92 juta) dan love scam (RM111.08 juta).

“Kerajaan telah memperkukuh peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sebagai pusat sehenti yang menggabungkan kepakaran Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta institusi kewangan bagi membolehkan tindakan pantas diambil terhadap kes penipuan dalam talian.

“Melalui talian NSRC 997, tindakan menyekat aliran wang mangsa dapat dilaksanakan dalam tempoh kritikal bagi menghalang pemindahan keluar dana daripada sistem perbankan tempatan,” menurut kementerian itu. — BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author