Terkini
SPRM kemuka 6 syor perkukuh tatakelola bantuan rumah ibadat bukan Islam
- Cadangan itu dikemukakan susulan siasatan tatakelola oleh SPRM Negeri Sembilan yang mendapati terdapat kes RIBI gagal melaksanakan projek penyelenggaraan walaupun telah menerima peruntukan daripada KPKT.
- SPRM mencadangkan semua rumah ibadat bukan Islam yang memohon bantuan penyelenggaraan didaftarkan dengan ROS atau diiktiraf mengikut undang-undang agama bagi memudahkan pengesahan dan pemantauan.
- Pelanjutan tempoh projek dihadkan hanya untuk situasi luar jangka, manakala prosedur khas diwujudkan bagi memulangkan dana yang tidak digunakan atau diterima secara tidak sah.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah mengemukakan enam cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperkukuh pengurusan dan penyaluran bantuan kewangan inisiatif penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara.
Cadangan itu dikemukakan susulan siasatan tatakelola oleh SPRM Negeri Sembilan yang mendapati terdapat kes RIBI gagal melaksanakan projek penyelenggaraan walaupun telah menerima peruntukan daripada KPKT.
Sebagai langkah memperkukuh tatakelola dan integriti penyaluran bantuan kewangan inisiatif penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), SPRM Negeri Sembilan telah mengemukakan enam cadangan penambahbaikan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Enam cadangan utama telah dikemukakan oleh Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Zulkeflee Sulaiman.
Antara cadangan utama termasuklah mewajibkan setiap RIBI pemohon bantuan didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau diiktiraf secara sah di bawah peruntukan undang-undang agama, serta mengehadkan kelulusan pelanjutan tempoh (EOT) hanya untuk situasi luar jangka dengan justifikasi munasabah.
SPRM turut mencadangkan agar prosedur khusus diwujudkan bagi memulangkan semula dana bantuan yang gagal dibelanjakan atau sekiranya penerima didapati melanggar syarat permohonan.
Selain itu, SPRM mengesyorkan penambahbaikan dalam dokumentasi permohonan dan pemantauan fizikal, termasuk mewujudkan borang perincian kerja pembaikan yang lebih komprehensif serta mewajibkan borang laporan pemantauan fizikal di tapak oleh Pasukan Teknikal yang dilengkapi dokumentasi gambar sebagai bukti lawatan.
Sebagai langkah pengukuhan akauntabiliti, SPRM turut mencadangkan supaya ruang perakuan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 disediakan bagi mengesahkan bahawa segala dokumen dan maklumat yang dikemukakan oleh pihak RIBI adalah betul serta mematuhi peraturan semasa.
Kesemua cadangan ini telah diterima baik oleh KPKT sebagai usaha memperkukuh integriti dan ketelusan dalam pengurusan dana awam.
Zulkeflee menyambut baik kesemua enam syor yang dikemukakan sebagai langkah memperkukuh integriti, tatakelola dan kawalan dalaman kementerian. Beliau bersetuju menerima cadangan berkenaan dan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Sembilan.
Langkah proaktif itu mencerminkan komitmen kedua-dua agensi dalam memperkasakan tadbir urus, meningkatkan pematuhan, serta memastikan dana awam disalurkan secara telus kepada pihak yang layak. – The Merdeka Times