Terkini
Universiti perlu pelbagaikan sumber pembiayaan – Prof Tan Sri Noor Azlan
- “Kerajaan tidak mampu memenuhi semua kehendak rakyat. Pendidikan bersaing dengan kesihatan, bersaing dengan jalan raya, bersaing dengan keselamatan dan pelbagai lagi keperluan negara,” – Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali
- Beliau berkata dalam keadaan sumber negara yang terhad, universiti awam juga perlu memikirkan kaedah pembiayaan yang lebih mampan tanpa mengorbankan fungsi terasnya sebagai institusi pendidikan.
- Beliau mengambil contoh Harvard University yang mana hanya kira-kira 22 peratus hasil Harvard diperoleh daripada yuran pengajian, manakala sekitar 46 peratus lagi datang daripada dana endowmen dan sumbangan filantropi pelbagai pihak, selain hasil penyelidikan yang turut menjadi sumber pembiayaan universiti itu.
BANGI — Perdebatan mengenai pelaksanaan saluran terbuka di universiti awam tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada mekanisme kemasukan pelajar kerana isu yang lebih besar ialah bagaimana institusi pengajian tinggi awam dapat terus memenuhi tanggungjawabnya ketika tuntutan terhadap pendidikan semakin meningkat, namun kemampuan kewangan kerajaan mempunyai batasan.
Pandangan itu disuarakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali ketika Forum Bicara Persada yang membincangkan pelaksanaan saluran terbuka di universiti awam.
Menurut beliau, apabila membincangkan pembiayaan pendidikan tinggi, kerajaan tidak mungkin mampu memenuhi semua tuntutan rakyat kerana pendidikan hanyalah satu daripada pelbagai sektor yang memerlukan perbelanjaan awam, termasuk kesihatan, keselamatan, infrastruktur dan kebajikan rakyat.
“Kerajaan tidak mampu memenuhi semua kehendak rakyat. Pendidikan bersaing dengan kesihatan, bersaing dengan jalan raya, bersaing dengan keselamatan dan pelbagai lagi keperluan negara,” katanya.
Beliau berkata dalam keadaan sumber negara yang terhad, universiti awam juga perlu memikirkan kaedah pembiayaan yang lebih mampan tanpa mengorbankan fungsi terasnya sebagai institusi pendidikan.
Bagi menjelaskan hujah tersebut, Noor Azlan mengambil contoh Harvard University, namun menegaskan beliau tidak bermaksud Malaysia perlu meniru model universiti berkenaan.
“Hanya kira-kira 22 peratus hasil Harvard diperoleh daripada yuran pengajian, manakala sekitar 46 peratus lagi datang daripada dana endowmen dan sumbangan filantropi pelbagai pihak, selain kira-kira 15 peratus daripada penyelidikan,” jelas beliau.
Beliau berkata lebih separuh daripada pelajar Harvard turut menerima bantuan kewangan, dengan kos pengajian mereka ditanggung melalui sumber pendapatan lain yang dimiliki universiti tersebut, sekaligus menunjukkan bahawa universiti bertaraf dunia tidak bergantung kepada satu sumber pembiayaan semata-mata.
Noor Azlan berkata setiap negara mempunyai model pembiayaan pendidikan tinggi yang berbeza dan Malaysia juga perlu berani menilai pelbagai alternatif mengikut kemampuan fiskal negara.
“Saya tidak mengatakan saluran terbuka adalah satu-satunya cara. Banyak cara lain… kita kena tengok hutan, jangan tengok satu ranting sahaja,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam, Prof. Datuk Dr. Mad Amin Mat Taib berkata saluran terbuka hanyalah salah satu daripada pelbagai mekanisme yang digunakan universiti bagi menjana pendapatan.
Menurut beliau, universiti turut memperoleh hasil melalui pelbagai aktiviti lain seperti penyelidikan, perkhidmatan profesional, konsultansi, penerbitan, persidangan, penggunaan kemudahan universiti serta pengambilan pelajar antarabangsa.
Beliau berkata hasil yang dijana itu disalurkan semula bagi memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi, termasuk menyediakan biasiswa, membantu pelajar yang memerlukan serta meningkatkan kualiti pengajaran dan kemudahan universiti.
Noor Azlan bagaimanapun menegaskan usaha memperkukuh kedudukan kewangan universiti tidak boleh dilakukan sehingga menjejaskan peranan utama institusi pengajian tinggi.-The Merdeka Times