Connect with us

Terkini

Bapa perlu main peranan lebih besar dalam aspek emosi, pendidikan anak – LPPKN

Published

on

Foto: Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN, Rosmonaliza Abdul Ghani.
  • Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN, Rosmonaliza Abdul Ghani berkata peranan seorang bapa pada masa kini tidak lagi terhad sebagai pencari nafkah, sebaliknya turut berfungsi sebagai ejen perubahan dalam membentuk institusi keluarga yang harmoni dan berdaya tahan.
  • “Kalau dahulu ayah dilihat sebagai pemberi nafkah, kini mereka juga merupakan ejen perubahan dan figura penting dalam membentuk sebuah keluarga,” katanya.
  • Rosmonaliza berkata semakin ramai golongan lelaki kini lebih terbuka untuk mendapatkan bantuan profesional dan mengikuti sesi kaunseling bersama pasangan serta anak-anak.

KUALA LUMPUR – Perubahan landskap kehidupan masa kini menuntut golongan bapa memainkan peranan lebih besar dalam aspek komunikasi, sokongan emosi dan pendidikan anak-anak.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Rosmonaliza Abdul Ghani berkata peranan seorang bapa pada masa kini tidak lagi terhad sebagai pencari nafkah, sebaliknya turut berfungsi sebagai ejen perubahan dalam membentuk institusi keluarga yang harmoni dan berdaya tahan. 

“Komunikasi yang berkesan dalam keluarga penting bagi memastikan peranan seorang bapa terus relevan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

“Kalau dahulu ayah dilihat sebagai pemberi nafkah, kini mereka juga merupakan ejen perubahan dan figura penting dalam membentuk sebuah keluarga,” katanya dalam Podcast KASIH Lensa Keluarga bertajuk “Sehebat Kasih Bapa”, yang turut menampilkan pengasas dan Ketua Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Abbe Hae.

Rosmonaliza berkata semakin ramai golongan lelaki kini lebih terbuka untuk mendapatkan bantuan profesional dan mengikuti sesi kaunseling bersama pasangan serta anak-anak.

Beliau berkata LPPKN menyediakan pelbagai program sokongan termasuk kaunseling, terapi dan ujian personaliti bagi membantu golongan bapa yang berdepan tekanan kewangan, masalah kesihatan mental serta cabaran kehidupan.

“Di LPPKN, kita sentiasa membuka ruang untuk mereka berkongsi masalah kerana kita tidak mahu golongan bapa berasa bersendirian dalam menghadapi cabaran hidup,” katanya.

Beliau berkata keterbukaan golongan lelaki untuk mendapatkan khidmat kaunseling juga semakin meningkat, termasuk dalam kalangan mereka yang mengikuti sesi kaunseling keluarga bersama anak-anak.

Sementara itu, Abbe berkata berdasarkan pengalaman mendampingi golongan miskin bandar dan anak jalanan, banyak masalah sosial berpunca daripada ketiadaan figura bapa yang berfungsi dalam keluarga.

Beliau berkata penyalahgunaan dadah dalam kalangan ketua keluarga dan kemiskinan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga serta mendorong berlakunya pelbagai gejala sosial.

Justeru, beliau berkata usaha mendekati golongan bapa yang berdepan masalah perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah dan kasih sayang, bukannya melalui pendekatan menghukum.

“Apabila seseorang itu mempunyai ego, kita perlu mendekatinya dengan kasih sayang. Pendekatan berteraskan agama dan nilai kekeluargaan juga mampu membantu individu kembali memainkan peranan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab,” katanya.

Pada masa sama, Rosmonaliza berkata sokongan daripada pasangan dan anak-anak amat penting bagi membantu golongan bapa berdepan tekanan hidup serta mengelakkan mereka memendam masalah secara bersendirian.

“Anak-anak tidak seharusnya menunggu sehingga terlambat untuk menghargai pengorbanan seorang ayah, manakala golongan bapa perlu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga kerana kehadiran mereka lebih bermakna kepada anak-anak berbanding harta benda semata-mata,” katanya. – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author