Connect with us

Terkini

GARAH gesa Selangor jelaskan dakwaan kelonggaran rumah ibadat bukan Islam

Published

on

Foto: Pengerusi Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH)  Firdaus Wong.
  • Pengerusi Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH)  Firdaus Wong berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang dikaitkan dengan Council of Churches of Malaysia (CCM) dan Ahli Parlimen Klang yang didakwa memaklumkan bahawa hasil perbincangan dengan kerajaan negeri telah membawa kepada keputusan untuk memberikan pelbagai kelonggaran berkaitan perkara tersebut.
  • “Keperluan sesuatu rumah anutan hendaklah ditentukan berdasarkan nisbah sebenar bilangan penganut dalam sesuatu lokaliti. Perancangan pembangunan tidak boleh berasaskan tuntutan tanpa mengambil kira data kependudukan serta kemudahan sedia ada.
  • “Sekiranya kapasiti rumah anutan yang telah wujud masih mencukupi untuk menampung bilangan penganut, maka tiada justifikasi untuk menambah premis baharu, apatah lagi melalui pemutihan pembinaan yang tidak mematuhi peraturan,” jelas beliau.

KUALA LUMPUR – Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa kelonggaran akan diberikan terhadap pembinaan atau pemutihan rumah ibadat agama bukan Islam di negeri itu.

Pengerusinya, Firdaus Wong berkata, pihaknya memandang serius kenyataan yang dikaitkan dengan Council of Churches of Malaysia (CCM) dan Ahli Parlimen Klang yang didakwa memaklumkan bahawa hasil perbincangan dengan kerajaan negeri telah membawa kepada keputusan untuk memberikan pelbagai kelonggaran berkaitan perkara tersebut.

Menurut beliau, sekiranya dakwaan itu benar, ia menimbulkan kebimbangan kerana perancangan bandar dan pematuhan undang-undang tidak seharusnya dilonggarkan semata-mata untuk memenuhi tuntutan pihak tertentu.

“Keperluan pembinaan sesebuah rumah ibadat hendaklah ditentukan berdasarkan bilangan penganut yang sebenar dalam sesuatu kawasan serta kemudahan sedia ada.

“Sekiranya kapasiti rumah ibadat yang telah wujud masih mencukupi, maka tiada justifikasi untuk menambah premis baharu, apatah lagi melalui proses pemutihan pembinaan yang tidak mematuhi peraturan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan cadangan membenarkan rumah ibadat didirikan di kawasan industri atau komersial secara lebih longgar kerana berpotensi menimbulkan implikasi terhadap kepentingan awam.

Menurutnya, kawasan industri dan komersial dirancang untuk aktiviti ekonomi, logistik serta perdagangan, dan penggunaan premis bagi aktiviti keagamaan berskala besar berkemungkinan menimbulkan kesesakan lalu lintas, masalah parkir serta mengganggu operasi perniagaan.

Selain itu, GARAH mendakwa tindakan membenarkan rumah ibadat dibina di atas tanah berstatus industri atau komersial boleh bercanggah dengan peruntukan undang-undang perancangan sedia ada.

Firdaus merujuk kepada Seksyen 19 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang menetapkan bahawa semua pembangunan perlu mematuhi Rancangan Tempatan dan Rancangan Struktur Negeri yang telah diwartakan.

Beliau mendakwa Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2020-2035 (Penggantian) tidak menyenaraikan rumah ibadat sebagai guna tanah yang dibenarkan di zon industri dan komersial.

Menurut GARAH, sebarang tindakan memutihkan premis yang dibina di kawasan yang tidak dibenarkan berpotensi mencetuskan isu salah guna kuasa dan boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Pada masa sama, beliau berpandangan bahawa keutamaan pihak berkuasa seharusnya tertumpu kepada pengurusan, penyelenggaraan dan pematuhan undang-undang terhadap rumah ibadat sedia ada, selain mengambil tindakan terhadap premis yang didakwa dibina tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, GARAH menegaskan bahawa pendirian mereka bukan bertujuan menafikan kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya mempertahankan prinsip bahawa setiap pembangunan, termasuk rumah ibadat, perlu mematuhi undang-undang serta syarat perancangan yang ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, keharmonian antara agama hanya dapat dipelihara apabila semua pihak menghormati proses perundangan, perancangan bandar yang tersusun dan hak masyarakat untuk menikmati persekitaran yang teratur serta selamat.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author