Terkini
Vape jadi medium baharu dadah sintetik, 81 peratus pengguna belia – AADK
- Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, taktik mencampurkan pelbagai jenis dadah sintetik ke dalam cecair vape menjadi antara cabaran terbesar kepada agensi penguatkuasaan ketika ini, khususnya dalam aspek saringan dan pengenalpastian bahan terlarang yang semakin pelbagai di pasaran.
- Menurutnya, hasil rampasan pihak polis baru-baru ini turut menemukan dadah jenis syabu dan fentanil yang diproses dalam bentuk katrij (cartridge) bagi membolehkan ia dipasang terus pada peranti vape.
KUALA LUMPUR – Penggunaan rokok elektronik atau vape kini dikesan menjadi medium baharu penyalahgunaan dadah sintetik yang semakin membimbangkan dan sukar dikesan berbanding penggunaan dadah tradisional.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, taktik mencampurkan pelbagai jenis dadah sintetik ke dalam cecair vape menjadi antara cabaran terbesar kepada agensi penguatkuasaan ketika ini, khususnya dalam aspek saringan dan pengenalpastian bahan terlarang yang semakin pelbagai di pasaran.
Menurut beliau, data terkini AADK bagi tahun ini menunjukkan sebanyak 73 peratus daripada keseluruhan individu yang dikenal pasti terlibat dengan penyalahgunaan dadah adalah pengguna dadah sintetik.
“Daripada jumlah keseluruhan pengguna dadah sintetik itu, golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun merangkumi majoriti besar iaitu sebanyak 81 peratus.
“Hasil profiling dan maklumat yang diperoleh daripada klien di pusat-pusat pemulihan menunjukkan trend pengambilan dadah melalui vape semakin meningkat disebabkan kepelbagaian campuran bahan terlarang itu,” katanya.
Ruslin berkata, jika sebelum ini penyalahgunaan dadah sintetik sering dikaitkan dengan bahan seperti synthetic cannabinoid atau ganja tiruan yang dikenali sebagai “Magic Mushroom”, kini sindiket pengedaran dadah dilihat semakin kreatif dalam mencari kaedah baharu untuk mengedar bahan terlarang tersebut.
Menurutnya, hasil rampasan pihak polis baru-baru ini turut menemukan dadah jenis syabu dan fentanil yang diproses dalam bentuk katrij (cartridge) bagi membolehkan ia dipasang terus pada peranti vape.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan evolusi kaedah penyalahgunaan dadah yang semakin kompleks dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh.
Walaupun kawalan terhadap peralatan vape berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ruslin berkata AADK bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu berkenaan.
“Satu penelitian mendalam dan penguatkuasaan yang lebih bersepadu perlu dilaksanakan segera bagi menyekat rantaian bekalan berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata AADK kini memperkukuh tiga teras utama agensi itu iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan rawatan bagi menangani cabaran penyalahgunaan dadah sintetik, dengan fokus khusus terhadap usaha mengurangkan permintaan dalam kalangan belia.
Menurutnya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan trend penyalahgunaan dadah melalui vape dapat dibendung sebelum menjadi ancaman yang lebih serius kepada masyarakat dan negara.-The Merdeka Times