Terkini
BERSIH dakwa salah guna aset kerajaan berleluasa menjelang PRN Johor
- Menurut BERSIH, antara insiden yang dibangkitkan termasuk penyiaran Ceramah Umum Pakatan Harapan bertajuk “Keadilan untuk Bangsa Johor” di saluran RTM pada 15 Jun lalu, selain pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung Perkhidmatan Shuttle Selatan pada 16 Jun yang menyaksikan pengagihan 3,000 Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan bernilai RM50 secara percuma kepada rakyat Johor.
- BERSIH turut menegaskan bahawa amalan terbaik demokrasi menuntut supaya pengumuman dasar baharu, pelancaran program berskala besar, pengagihan bantuan serta penggunaan aset kerajaan yang berpotensi memberi manfaat politik dihentikan sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) melahirkan kebimbangan terhadap beberapa insiden yang didakwa melibatkan penggunaan aset serta sumber kerajaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan.
Dalam satu kenyataan media, BERSIH berkata pihaknya memandang serius beberapa perkembangan yang berlaku selepas pembubaran Dewan Negeri Johor kerana berpotensi menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan kesaksamaan medan persaingan politik.
Menurut BERSIH, antara insiden yang dibangkitkan termasuk penyiaran Ceramah Umum Pakatan Harapan bertajuk “Keadilan untuk Bangsa Johor” di saluran RTM pada 15 Jun lalu, selain pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung Perkhidmatan Shuttle Selatan pada 16 Jun yang menyaksikan pengagihan 3,000 Kad Komuter MADANI Shuttle Selatan bernilai RM50 secara percuma kepada rakyat Johor.
Turut disenaraikan ialah pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Negeri Johor oleh Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi pada 18 Jun lalu serta laporan mengenai pengagihan Bakul Kasih Johor di seluruh negeri.
BERSIH berkata walaupun inisiatif tersebut boleh memberi manfaat kepada rakyat, pelaksanaannya dalam tempoh menjelang pilihan raya menimbulkan persoalan sama ada kerajaan yang memegang kuasa memperoleh kelebihan politik yang tidak dinikmati oleh pihak lain.
Menurut gabungan itu, kerajaan mempunyai akses kepada jentera pentadbiran, dana awam, media dan institusi kerajaan yang tidak dimiliki oleh parti-parti politik lain. Justeru, penggunaan sumber tersebut ketika rakyat sedang membuat pertimbangan untuk mengundi boleh menjejaskan prinsip persaingan yang adil.
BERSIH turut menegaskan bahawa amalan terbaik demokrasi menuntut supaya pengumuman dasar baharu, pelancaran program berskala besar, pengagihan bantuan serta penggunaan aset kerajaan yang berpotensi memberi manfaat politik dihentikan sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Dalam masa sama, BERSIH mengingatkan tentang keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2023 yang menyaksikan kemenangan wakil rakyat ketika itu dibatalkan oleh mahkamah pilihan raya atas kesalahan penyogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Menurut BERSIH, antara perlakuan yang dipersoalkan dalam petisyen tersebut ialah pengagihan bantuan melalui program kerajaan negeri seperti i-Belia, i-Pencen dan i-Siswa. Sehubungan itu, pemberian baucar, bantuan kewangan, bakul makanan dan bentuk bantuan lain yang dilaksanakan ketika tempoh pilihan raya berpotensi menimbulkan isu di bawah Seksyen 8 berkaitan penjamuan dan Seksyen 10 berkaitan penyogokan dalam akta berkenaan.
Justeru, BERSIH menggesa agar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dipinda dan dikemas kini dengan memasukkan peruntukan khusus yang melarang penggunaan aset, dana, institusi serta sumber kerajaan bagi memperoleh kelebihan politik sepanjang tempoh pilihan raya.
Menurut gabungan itu, kegagalan menutup kelemahan tersebut akan menyebabkan dakwaan penyalahgunaan aset kerajaan terus berulang tanpa mengira parti yang memegang kuasa, sekali gus menjejaskan usaha mewujudkan sistem pilihan raya yang benar-benar bebas, bersih dan adil.-The Merdeka Times