Connect with us

Terkini

Centhra cadang caj ke atas pelarian berniaga, Dana diguna urus Rohingya

Published

on

Foto: Pengerusi Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra), Azril Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra), Azril Mohd Amin mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan caj/levi ke atas pelarian atau golongan tanpa kerakyatan yang menjalankan perniagaan di Malaysia bagi membantu menampung kos pengurusan komuniti tersebut.

Beliau berkata, pendekatan itu boleh menjadi antara langkah praktikal untuk mengurus isu Rohingya dan golongan tanpa kerakyatan yang telah lama berada di negara ini tanpa membebankan rakyat secara langsung.

Menurutnya, levi yang dikutip boleh disalurkan ke dalam satu tabung khas bagi membiayai usaha pendaftaran, pemantauan dan pengurusan komuniti pelarian serta golongan tanpa kerakyatan.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan, kalau kita tidak dapat memberikan permit kerja kepada mereka, mana-mana orang tanpa kerakyatan ataupun pelarian yang berniaga dan memperoleh keuntungan boleh dikenakan levi.

“Bukan untuk menekan atau mendiskriminasi mereka, tetapi menggunakan wang levi itu untuk mengurus masyarakat tanpa kerakyatan dan juga pelarian,” katanya dalam program Garis Krisis terbitan The Merdeka Times.

Azril berkata, hasil kutipan levi tersebut boleh digunakan untuk membantu kerajaan menangani pelbagai isu berkaitan komuniti berkenaan termasuk aspek keselamatan, kesihatan awam dan pengurusan penempatan.

Beliau turut mengaitkan cadangan itu dengan saranannya supaya kerajaan mengenal pasti kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi komuniti Rohingya dan golongan tanpa kerakyatan bagi memudahkan proses pemetaan serta pengurusan mereka.

Menurutnya, kawasan-kawasan tersebut boleh diberikan perhatian khusus oleh pihak berkuasa bagi tujuan pendaftaran, pengesahan identiti dan pemantauan yang lebih berkesan.

Pada masa sama, Azril mengakui terdapat kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia berhubung isu Rohingya, namun berpandangan penyelesaian yang lebih tersusun perlu dicari bagi mengelakkan masalah tersebut terus membarah.

Beliau berkata, sedikit perbelanjaan diperlukan bagi mengurus isu itu kerana kegagalan menanganinya berpotensi membawa kesan yang lebih besar kepada negara pada masa hadapan.

Selain itu, Azril turut mencadangkan penubuhan satu tabung di peringkat ASEAN bagi membantu negara-negara yang menanggung beban pengurusan pelarian dan golongan tanpa kerakyatan, termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Katanya, isu Rohingya bukan hanya melibatkan Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan perkongsian tanggungjawab serantau memandangkan punca utama krisis tersebut berpunca daripada tindakan Myanmar yang menafikan kewarganegaraan etnik Rohingya.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author