Connect with us

Terkini

Vape: Siapa sebenarnya KKM lindungi?’ MyWatch kesal KKM rayu kes nikotin cecair

Published

on

Foto: Presiden Pertubuhan Tindakan Wanita Malaysia untuk Kawalan dan Kesihatan Tembakau (MyWatch), Roslizawati Ali.
  • Pertubuhan Tindakan Wanita Malaysia untuk Kawalan dan Kesihatan Tembakau (MyWatch) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pengecualian nikotin dalam bentuk cecair dan gel daripada Akta Racun.
  • “Tindakan KKM meneruskan rayuan menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar kementerian berkenaan. Siapa sebenarnya yang Kementerian Kesihatan lindungi?” katanya.
  • Menurut beliau, fungsi utama kementerian adalah menjaga kesihatan awam, mencegah penyakit dan memastikan kesejahteraan rakyat, bukannya mempertahankan kepentingan industri atau hasil yang diperoleh daripada produk yang boleh menyebabkan ketagihan.

PETALING JAYA – Pertubuhan Tindakan Wanita Malaysia untuk Kawalan dan Kesihatan Tembakau (MyWatch) melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pengecualian nikotin dalam bentuk cecair dan gel daripada Akta Racun.

Presidennya, Roslizawati Ali berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu seharusnya dijadikan ruang untuk kerajaan memperbetulkan dasar yang dipersoalkan, selain mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap komitmen kerajaan dalam melindungi kesihatan rakyat.

“Tindakan KKM meneruskan rayuan menimbulkan persoalan mengenai keutamaan sebenar kementerian berkenaan. Siapa sebenarnya yang Kementerian Kesihatan lindungi?” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Utusan Malaysia.

Menurut beliau, fungsi utama kementerian adalah menjaga kesihatan awam, mencegah penyakit dan memastikan kesejahteraan rakyat, bukannya mempertahankan kepentingan industri atau hasil yang diperoleh daripada produk yang boleh menyebabkan ketagihan.

Roslizawati berpandangan tindakan meneruskan rayuan tersebut berisiko menimbulkan tanggapan bahawa kepentingan industri vape diberikan keutamaan berbanding perlindungan terhadap kanak-kanak dan remaja.

“Tindakan merayu keputusan tersebut boleh memberi persepsi bahawa kementerian lebih cenderung mempertahankan kepentingan industri vape berbanding kesihatan kanak-kanak dan remaja.

“Pengecualian nikotin cecair daripada Akta Racun pada 2023 telah membuka ruang kepada perkembangan pesat produk vape dan e-rokok di seluruh negara.

“Hal ini turut menyaksikan peningkatan kes ketagihan nikotin dalam kalangan pelajar sekolah serta kebimbangan terhadap pendedahan kepada bahan berbahaya. Ini bukan lagi sekadar isu kawal selia. Ia adalah kecemasan kesihatan awam,” katanya.

Beliau turut mengaitkan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan golongan muda dengan strategi pemasaran yang disifatkannya agresif, termasuk penggunaan pelbagai perisa, reka bentuk pembungkusan yang menarik serta promosi gaya hidup menerusi platform media sosial.

Sehubungan itu, MyWatch menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan larangan menyeluruh terhadap produk vape dan e-rokok bagi tujuan rekreasi. Cadangan tersebut merangkumi penjualan peranti vape, cecair nikotin, produk tanpa nikotin untuk kegunaan rekreasi serta semua bentuk pengiklanan dan promosi berkaitan.

“Antara cadangan lain adalah penguatkuasaan lebih tegas terhadap penjualan nikotin secara haram, peluasan perkhidmatan berhenti merokok dan tindakan menangani ketagihan dalam kalangan golongan muda.

“Malaysia tidak sepatutnya menjadi medan ujian kepada industri yang mengaut keuntungan daripada ketagihan,” katanya.

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author