Connect with us

Terkini

Titah Sultan Pahang isyarat jelas keresahan rakyat sudah memuncak – CENTHRA

Published

on

Foto: Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin.
  • Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin, titah baginda menunjukkan keprihatinan terhadap usaha memastikan keharmonian masyarakat tidak terjejas akibat salah tafsir terhadap sifat murah hati dan kemanusiaan yang diamalkan rakyat negara ini.
  • “Saya fikir baginda memahami keresahan rakyat dan saya ingat tiba masanya untuk kita betul-betul melihat kepada apa yang sedang dihadapi,” katanya.
  • “Saya ingat tiba masanya untuk kita betul-betul melihat kepada apa yang sedang dihadapi. Adakah itu daripada, contohnya pelarian ataupun golongan stateless, adakah itu perbuatan mereka betul ataupun itu adalah daripada golongan yang mengambil kesempatan,” katanya.

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai isu golongan yang diterima atas dasar kemanusiaan perlu dilihat sebagai cerminan terhadap keresahan rakyat yang semakin memuncak berhubung perkara tersebut.

Menurut Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin, titah baginda menunjukkan keprihatinan terhadap usaha memastikan keharmonian masyarakat tidak terjejas akibat salah tafsir terhadap sifat murah hati dan kemanusiaan yang diamalkan rakyat negara ini.

“Saya fikir baginda memahami keresahan rakyat dan saya ingat tiba masanya untuk kita betul-betul melihat kepada apa yang sedang dihadapi,” katanya ketika di temubual The Merdeka Times, di Studio Merdeka, Wangsa Maju. 

Azril berkata, penting untuk semua pihak meneliti realiti sebenar di lapangan dan mengenal pasti pihak yang benar-benar menjadi punca kepada masalah yang dibangkitkan.

“Adakah itu daripada contohnya pelarian ataupun golongan stateless, adakah itu perbuatan mereka betul ataupun itu adalah daripada golongan yang mengambil kesempatan,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama dengan pihak berkuasa amat penting bagi memahami hakikat sebenar situasi sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Sebab itu pentingnya untuk pihak kita bekerjasama dengan pihak berkuasa, tahu sebenarnya apa hakikat ataupun realiti yang berlaku bila baginda keluarkan nasihat seperti itu,” katanya.

Mengulas peranan pemimpin dalam menangani isu sensitif seperti Rohingya, Azril berkata mereka perlu mendapatkan pandangan pakar sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan salah tafsir.

“Saya ingat penting untuk para pemimpin kena rendah diri untuk merujuk kepada mereka yang pakar, yang lebih tahu sebelum mengeluarkan kenyataan supaya tidak disalah tafsir,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai ramai pakar dan pihak berautoriti yang boleh membantu pemimpin memahami sesuatu isu secara lebih mendalam sebelum membuat sebarang kenyataan awam.

“Kalau kita tengok pemimpin ni, mungkin ada yang kurang kelayakan, bukan bidang dia, tapi dia masih nak berikan komen. Jadi itu perlu diperhatikan, kena elakkan,” katanya.

Azril turut menegaskan bahawa penyelesaian terhadap isu pelarian dan golongan tanpa negara memerlukan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang yang dilaksanakan secara berterusan.

“Itu sebab dia kena ada penyelesaian jangka pendek, jangka panjang. Yang jangka panjang, saya cadangkan sumber masalah itu kena ditutup, kena tutup lubang yang bocor itu,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author